mutakhir

Lembu korban 1,000 kilogram

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Terengganu: “Saya berasa gemuruh, tetapi pada masa sama tidak sabar untuk bergotong-royong menyembelih lembu baka Charolais seberat satu tan pada hari kedua Aidiladha,” kata Mohd Syafiq Ghazali, 26, dari Kampung Losong Dato Amar, di sini, semalam.

Lembu Charolais berusia tiga tahun berharga RM14,000 itu antara 18 ekor lembu yang akan dikorbankan penduduk kampung berkenaan yang diuruskan Badan Ukhwah Darul Iman (BUDI) Losong bermula jam 8 pagi hingga 2 petang, esok.

Mohd Syafiq berkata, dia berasa bertuah kerana berpeluang mengambil bahagian dalam proses penyembelihan lembu korban terbesar itu, sekali gus memperoleh ilmu dan pengalaman.

“Peluang untuk turut sama menyembelih lembu bersaiz besar tidak selalu diperoleh kerana kebiasaannya hanya lembu kampung yang disembelih pada Aidiladha.

“Biarpun sedikit cemas kerana dibimbangi lembu Charolais itu naik minyak dan hilang kawalan, namun saya tetap berasa gembira kerana sepanjang sembilan tahun terbabit dalam gotong-royong sempena Aidiladha, ini kali pertama membabitkan lembu bersaiz besar,” katanya.

Menurutnya, lembu itu dijual dengan harga RM2,000 satu bahagian dengan anggaran jumlah daging 50 kilogram untuk setiap bahagian.

“Penyembelihan lembu bersaiz besar seperti itu sepatutnya dijalankan pada Aidiladha setiap tahun kerana mempunyai jumlah daging yang banyak.

“Biarpun sedikit mencabar untuk diuruskan kerana saiznya tiga kali ganda lebih besar berbanding lembu biasa, namun ia akan memeriahkan lagi suasana Aidiladha selain memberi lebih manfaat kepada golongan yang memerlukan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi BUDI Zulfadli Hassan berkata, kebiasaannya pihaknya menguruskan 15 hingga 20 ekor haiwan korban secara sukarela di kampung berkenaan setiap tahun dan membuat kelainan pada tahun ini apabila menyembelih lembu Charolais terbabit.

“Lebih 10 golongan muda akan turut sama bergotong-royong menguruskan 18 ekor lembu yang akan dikorbankan oleh penduduk setempat.

“Gotong-royong kali ini lebih meriah kerana membabitkan lembu bersaiz besar. Ia secara tidak langsung menarik lebih ramai penduduk setempat untuk hadir pada hari penyembelihan, sekali gus dapat memeriahkan lagi proses korban itu,” katanya.

Disiarkan pada: September 12, 2016 @ 11:29am
d