mutakhir

Bau busuk petanda bahaya [METROTV]

Oleh Nur Saliawati Salberi

Melaka: Sebuah kilang memproses air batu terpaksa menghentikan operasinya semalam selepas berlakunya kebocoran gas ammonia di dalam premis berkenaan dalam kejadian di Taman IKS Malim, di sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 10 pagi itu disedari sekumpulan pekerja kilang berkenaan yang tiba untuk memulakan operasi.

Pekerja kilang dikenali sebagai Rizal Ishak, 38, berkata, mujur ketika kejadian tiada pekerja di dalam premis terbabit jika tidak pasti perkara lebih serius akan berlaku.

Dia yang tiba kira-kira jam 9.30 pagi bersama kira-kira 10 rakannya untuk memulakan rutin harian hairan apabila terhidu bau busuk di premis berkenaan.

“Ketika mahu membuka pintu kilang tiba-tiba terhidu bau busuk dan selepas dikenal pasti ia adalah bau ammonia yang kami menggunakannya untuk membekukan air batu.

“Menyedari bahaya gas terbabit, saya bersama rakan yang lain bergegas meninggalkan kilang lalu memaklumkan kepada pihak pengurusan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Menurut Rizal, kilang berkenaan baru saja dua bulan beroperasi dan ketika meninggalkan premis itu malam kelmarin kira-kira jam 10 semuanya berada dalam keadaan baik.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Kubu Pegawai Bomba Kanan II Khairuddin Atan berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 11.14 pagi, dua jentera bomba masing-masing dari BBP Jalan Kubu dan BBP Alor Gajah bersama 18 anggota termasuk pegawai dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya, Pasukan Khas Tindakan Bahan Berbahaya (HAZMAT) turut dikejarkan ke lokasi bagi mengawal dan mengesan kebocoran yang berlaku.

“Sebaik tiba di lokasi kami terlebih dulu membuat pemantauan dan mengesan punca kebocoran sebelum proses pembersihan dilakukan.

“Operasi selesai tiga jam selepas itu dan punca kejadian akibat daripada kebocoran pada salur getah,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Disiarkan pada: September 12, 2016 @ 11:32am
d