mutakhir

Bukan kejar populariti

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: “Hanya dengan membaca dan menghayati al-Quran dapat memberi ketenangan dan mengawal kita daripada melakukan perkara mungkar,” kata peserta World #QuranHour yang juga pelakon, Ezani Nizariff.

Beliau berkata, sebagai seorang pelakon, populariti yang diraih artis tidak hanya bersandar kepada bidang lakonan dan nyanyian semata-mata namun perlulah seiring dengan aktiviti keagamaan dan kebajikan.

Katanya, contoh yang baik ditonjolkan oleh pelakon atau penyanyi akan menjadi ikutan generasi muda yang sentiasa mengikut trend semasa artis di negara ini.

“Saya sememangnya akan menyertai aktiviti seperti program World #QuranHour dan apa salahnya meluangkan masa sekurang-kurangnya sejam untuk membaca al-Quran bersama peserta lain.

“Program berkenaan adalah pemangkin dalam membentuk sahsiah diri kearah lebih baik dan saya berharap ia dapat diteruskan dengan penyertaan lebih ramai daripada artis dan orang ramai,” katanya, ketika ditemui pada Majlis World #QuranHour.

World #QuranHour yang diadakan di Masjid Negara itu dianjurkan Persatuan Karyawan Malaysia dan disertai lebih 50 artis dan orang ramai.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Bilal masjid Ustaz Shukri Che Doh, kemudian diikuti ceramah ringkas bertajuk “Adat Membaca al-Quran” dan seterusnya hadirin memulakan bacaan 30 juzuk ayat-ayat suci Al-Quran.

Antara artis yang hadir penyanyi veteran merangkap setiausaha agung persatuan itu, Datin Julie Sudiro, pelakon Louisa Chong, penyanyi Rozita Rohaizad dan penyanyi era 90-an Royce Sayan.

Sementara itu, Timbalan presiden persatuan itu, Radhi Khalid berkata, program pertama kali diadakan itu bagi mendekatkan lagi golongan artis dengan al-Quran dan menjadikan amalan membaca kitab suci itu sebagai panduan hidup.

“Kita mahu membuang stigma masyarakat yang artis hanya menyertai atau sibuk mengejar populariti saja namun sebenarnya kita juga mengimbangi antara kerjaya dan tuntutan agama.

“Saya dapati majlis sebegini mendapat sambutan baik daripada artis kita dan orang awam dan berharap aktiviti ini akan dijadikan acara tahunan persatuan,” katanya.

Disiarkan pada: September 12, 2016 @ 11:35am
d