mutakhir

'Dana syurga kami'

Oleh Mohamad Fahd Rahmat

Johor Bahru: “Program World #QuranHour ini amat bermanfaat kepada kami sekeluarga berbanding melakukan perkara yang boleh membuang masa,” kata peniaga makanan, Khairul Anuar Mohd Moddat, 36.

Khairul Anuar yang berasal dari Muar berkata, dia bersama anaknya, Fatimah Az Zahra. lima bulan, Muhammad Aqmar Yusof, tujuh tahun dan Zulaikha, 11, mengambil peluang menyertai program itu ketika pulang bercuti di bandar raya ini sempena Hari Raya Aidiladha.

“Isteri saya tidak dapat bersama kerana menolong ibunya berniaga makanan dan saya mengambil peluang yang ada ini membawa anak-anak bagi mengikuti program ini.

“Program sebegini dapat melatih dan mendidik mereka mengenai ajaran Islam. Program ini sangat bagus kerana dapat membudayakan amalan membaca al-Quran di kalangan masyarakat dan wajar diteruskan pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato’ Onn di sini, semalam.

Sementara itu, kira-kira 2,000 umat Islam menyertai program World #QuranHour yang berlangsung pada 9 pagi dipenuhi dengan aktiviti bacaan surah al-Quran selain solat Dhuha berjemaah.

Penganjur yang juga Pengerusi Rumah Ngaji Negeri Johor, Shamsudin Ismail berkata, program berkenaan diadakan bertujuan memupuk budaya pembacaan al-Quran dalam kalangan masyarakat terutama generasi muda.

“Kesannya, kami berjaya menarik minat generasi muda supaya mereka cintakan al-Quran kerana pada hari ini (semalam).

“Kami selalu menganjurkan program membudayakan al-Quran di hospital, penjara dan tempat umum bagi membolehkan umat Islam menemui keindahan al-Quran seterusnya membaca dengan mudah.

“Jika tidak diadakan anjakan paradigma (dengan program seumpamanya) siapa lagi yang patut bangkitkan, melainkan menjadi tanggungjawab segenap lapisan masyarakat,” katanya.

Disiarkan pada: September 12, 2016 @ 11:37am
d