mutakhir

Nasib baik mereka tak panik

Oleh Nadzreen Shah Mat Salim

Kuala Lumpur: “Mujur ada tiga lelaki berjaya merenggangkan pintu lif berkenaan bagi membolehkan tujuh mangsa yang terperangkap mendapatkan oksigen,” kata Mohd Rosmab Abdul Razak, 34, yang menyedari anaknya, Siti Safiah Kaisara, lapan tahun, turut berada di dalam lif di Pangsapuri Sentul Utara, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, lima mangsa dewasa dan dua kanak-kanak terperangkap lebih 30 minit di tingkat 10 pangsapuri itu.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika dia mahu pulang ke rumah selepas berhari raya di rumah bapa mentuanya di pangsapuri itu.

“Saya tidak sempat masuk ke dalam lif itu berikutan pintu lif tertutup dengan pantas. Lif dari tingkat 14 itu, bagaimanapun berhenti di tingkat 10 sebelum menunjukkan simbol pangkah.

“Saya kemudian berlari ke tingkat 10 sebelum mendapati tiga lelaki berusaha membuka pintu lif itu.

“Namun pintu lif berkenaan hanya terbuka sedikit dan saya dapat melihat Safiah sedang ketakutan dan menangis,” katanya.

Dia berkata, semua mangsa akhirnya berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba dan penyelamat yang tiba tidak lama kemudian.

“Mujur semua mangsa tidak panik ketika keluar dari lif itu walaupun terperangkap lebih setengah jam,”katanya.

Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.15 petang dan sepasukan anggota bomba bergegas ke lokasi.

“Didapati terdapat lima dewasa dan dua kanak-kanak terperangkap di dalam lif berkenaan.

“Lif itu didapati berhenti di antara tingkat 10 dan tingkat sembilan pangsapuri itu. Namun semua mangsa dapat diselamatkan tanpa mengalami kecederaan,” katanya.

Disiarkan pada: September 13, 2016 @ 8:52am
d