mutakhir

Wang tunai tinggal abu

Oleh Mohd Hilmie Hussin

Melaka: 26 buruh warga asing kerugian ribuan ringgit apabila tujuh kontena yang dijadikan rumah kongsi di Jalan Kota Laksamana, di sini, musnah dalam kebakaran, semalam.

Kejadian berlaku jam 8.30 pagi ketika semua penghuni rumah kongsi terbabit keluar bekerja, sebelum kebakaran disedari seorang pemandu lori yang sedang mengangkut pasir di kawasan berkenaan.

Pemandu terbabit Muhammad Loo Kok Ming, 53, berkata sebaik tiba di lokasi kejadian jam 8.30 pagi untuk memunggah pasir, dia melihat kontena di bahagian tengah terbakar dahulu lalu menghubungi pihak bomba dan majikannya.

“Api merebak dengan cepat dan marak. Saya dan beberapa pekerja lain cuba mengangkut air dan menyiramnya untuk memadam kebakaran, namun api terlalu cepat merebak,” katanya.

Supriadi Tasirin, 35, dari Surabaya, Indonesia, mendakwa wang tunai berjumlah RM3,000 miliknya yang disimpan dalam rumah kongsi terbabit tidak dapat diselamatkan.

“Saya baru kembali ke Malaysia untuk bekerja dan wang itu untuk membaharui permit kerja. Saya buntu kerana pasport antarabangsa juga musnah, malah telefon bimbit serta baju baharu dipakai semalam (kelmarin) turut musnah,” katanya.

Pekerja Md Nur Alam, 27, dari Bangladesh pula mendakwa kerugian wang tunai berjumlah lebih RM1,000 dan hanya menemui semula wang tunai RM200 dengan kesan terbakar di rumah itu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Kubu, Khairuddin Jamaludin berkata, dua jentera dan sebuah EMRS dari BBP Jalan Kubu serta jentera tangki dari BBP Bukit Katil dengan kekuatan 22 anggota termasuk pegawai dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan pada jam 9.09 pagi.

Disiarkan pada: September 14, 2016 @ 8:21am
d