mutakhir

Penghuni penat buat aduan lif rosak

Oleh myMetro

Kuala Lumpur: Masalah lif rosak sudah menjadi perkara biasa dan tidak pernah selesai sehingga penduduk penat untuk membuat aduan terutama di kawasan pangsapuri kos rendah dan Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Tinjauan Harian Metro di beberapa kawasan tersebut mendapati ada lif yang sudah tidak dapat digunakan kerana tidak diselenggara, malah ada lif yang tidak berfungsi sudah disita Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan diklasifikasikan sebagai lif berbahaya.

Lebih menyedihkan, keadaan lif juga kotor dan berbau busuk berikutan tindakan tidak bertamadun segelintir penghuni yang dipercayai membuang air kecil.

Seorang penduduk di PPR Kampung Baru Air Panas Setapak, Zaleha Mohd Nasri, 55, berkata, penduduk di situ sudah lama bersabar dengan masalah yang berlaku.

“Saya tidak pernah ada pengalaman tersangkut dalam lif tetapi perkara itu selalu terjadi dan penduduk terpaksa memanggil pihak berkenaan untuk menyelamat mereka yang terperangkap.

“Bukan itu saja, lif juga akan berhenti secara tiba-tiba dan membuatkan penduduk panik,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan lima dewasa dan dua kanak-kanak terperangkap selama 30 minit dalam lif tingkat 10 Pangsapuri Sentul Utara.

Bagi Siti Fauziah Ismail, 47, masalah lif yang dihadapi penduduk seperti tiada jalan penyelesaian.

“Saya harap pihak bertanggungjawab dapat menyelesaikan masalah yang mungkin dipandang remeh, tetapi sangat bererti buat kami. Pantau selalu lif yang sudah dibaik pulih.

“Kami juga sudah penat kerana kadang-kadang lif elok selepas itu rosak balik. Ada antara kami terpaksa menggunakan tangga dan itu membawa masalah kepada warga emas, kanak-kanak dan golongan kurang upaya (OKU),” katanya.

Di Pangsapuri Seri Nilam Ampang, seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Rahman, 36, berkata, kerosakan lif itu memberi bebanan kepada penduduk terutama waktu puncak ketika penduduk mulai pulang daripada kerja.

Disiarkan pada: September 14, 2016 @ 8:23am
d