mutakhir

Sukar bendung kegiatan along

Oleh myMetro

Kuala Lumpur: Sukar bagi pihak polis memerangi kegiatan pemberi pinjaman wang haram atau along sepenuhnya berikutan masih ramai individu memilih saluran itu bagi menyelesaikan masalah kewangan dihadapi.

Malah proses pinjaman along jelas lebih mudah dan pantas berbanding permohonan pinjaman dari insitusi kewangan berlesen.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, aktiviti along sukar ditangani selagi orang ramai terus meletakkan kepercayaan kepada along ketika kesempitan wang.

“Rakyat negara ini yang memerlukan pinjaman kewangan perlu mendapatkannya daripada institusi kewangan yang sah.

“Ini penting bagi mengelakkan pengguna tertipu dan ditindas sindiket along yang menawarkan pinjaman pada kadar faedah terlalu tinggi,” katanya.

Menurutnya, masyarakat sering mengambil jalan keluar mudah dan gemar memilih pinjaman dengan cepat walaupun dikenakan kadar faedah tinggi.

Khalid mengingatkan bahawa kemudahan seperti bank dan institusi kewangan ditubuhkan untuk menyediakan pinjaman untuk perumahan dan perniagaan.

“Saya menasihatkan masyarakat supaya mendapatkan pinjaman melalui saluran yang betul supaya mereka tidak menjadi mangsa pemberi pinjaman wang haram,” katanya.

Kegiatan pemberi pinjaman wang haram atau along dilihat menjadi pencetus kepada masalah di negara ini dan beberapa pakar ekonomi turut menyatakan kebimbangan tahap hutang isi rumah yang meningkat tinggi kesan aktiviti along ini.

Sebelum ini, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar mencadangkan untuk membenarkan pemaju hartanah memberi pinjaman kepada pembeli rumah pada kadar faedah sebanyak 12 peratus dengan cagaran dan 18 peratus tanpa cagaran.

Namun, cadangan itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pakar ekonomi yang memberi amaran bahawa inisiatif sedemikian boleh membawa kepada krisis negara.

Disiarkan pada: September 14, 2016 @ 8:38am
d