mutakhir

Ibadah melontar tersusun berjalan lancar [METROTV]

Oleh Safar Ahmad

Makkah: Selepas setahun sepi, Kompleks Jamrat setinggi lima tingkat di Mina dekat sini, yang menempatkan Jamratul Sughra, Wusta dan Kubra kembali dibanjiri umat Islam bagi melaksanakan ibadat melontar

Umat Islam dari seluruh dunia bermabit di Mina pada Hari Tashriq iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah melakukan ibadat itu di ketiga-tiga jamrat selama tiga hari berturut-turut yang berakhir esok.

Pihak Berkuasa Pembangunan Makkah membahagikan Jambatan Jamrat menuju ke kompleks berkenaan yang menggunakan teknologi tinggi kepada enam tahap bagi memastikan pergerakan jemaah dari kedudukan khemah masing-masing berjalan lancar.

Terdapat bilik pemantauan di dalam kompleks bagi memudahkan wakil dari jabatan berkaitan melakukan pengawasan terhadap isu keselamatan.

Semua laluan ke kompleks terbabit dilengkapi kipas angin gergasi, pendingin hawa serta mesin air minuman dingin untuk keselesaan jemaah.

Sementara itu, kumpulan petugas media Malaysia mula melontar untuk hari pertama di tingkat tiga Kompleks Jamrat jam 4.30 pagi semalam.

Petugas media perlu berjalan kaki berulang-alik sejauh hampir 10 kilometer setiap hari antara penginapan di Wisma Thanaf dan Mina untuk bermabit berbanding jemaah haji yang berulang-alik ke jamrat dengan jarak lebih dekat berikutan mereka tinggal di perkhemahan Mina.

Bermabit bermaksud perlu berada di Mina sekurang-kurang separuh malam yang menjadi satu daripada wajib haji.

Ribuan jemaah dari pelbagai negara bergerak dalam kumpulan melalui beberapa laluan ditetapkan termasuk Terowong Muaisem.

Kerajaan Arab Saudi turut menempatkan pasukan tentera dan polis di sepanjang laluan bagi memastikan jemaah mematuhi arahan pergerakan.

Di kawasan perkhemahan Mina juga meriah dengan pelbagai aktiviti termasuk gerai jualan yang memenuhi sepanjang laluan.

Selepas selesai melontar jemaah kembali ke hotel penginapan di Makkah untuk menyempurnakan ibadat tawaf dan saie haji sebelum berangkat pulang ke tanah air atau ke Madinah.

Disiarkan pada: September 14, 2016 @ 9:27am
d