mutakhir

Cuci lepas tersentuh

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Kuala Lumpur: Sentuhan pada mana-mana bahagian kumbang Rove atau disebut Charlie di negara ini perlu dicuci segera bagi mengelak risiko keradangan kulit dan mata yang lebih teruk.

Pensyarah Kanan Perubatan dan Pakar Dermatologi Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Kartini Farah Rahim berkata, tindakan pantas perlu memandangkan serangga terbabit memiliki toksin berbahaya di badannya dan boleh menyebabkan mangsa mengalami lepuh dan lecur pada kulit.

“Kumbang jenis ini semakin mudah didapati berikutan musim hujan antara Julai dan Oktober.

“Pada waktu pagi, kumbang ini merangkak di atas daratan, tetapi cenderung mencari lampu dan cahaya serta masuk ke dalam rumah pada waktu malam.

“Fizikalnya yang kecil sering membuatkan kita terlepas pandang, namun sentuhan kulit dengan kumbang ini boleh mendatangkan kesan radang dan penyakit paederus dermatitis (penyakit kulit yang melepuh dan melecur),” katanya.

Menurut Dr Kartini, sekalipun kumbang Rove tidak menggigit manusia, namun sentuhannya boleh mengakibatkan kawasan kulit menjadi merah, berair dan melecur pada keesokan harinya.

“Kawasan kulit yang bersentuhan serangga ini akan terasa pedih dan gatal.

“Jika kumbang berkenaan terlintas di kawasan kulit ketika terbang, ia akan kelihatan seperti satu garisan lurus atau linear dermatitis,” katanya.

Akhbar ini semalam melaporkan mengenai kesengsaraan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun, Syara Eryyna Mohd Syafiq yang luka teruk di kaki kiri, melepuh seperti terkena percikan api akibat terkena toksin serangga berkenaan.

Menurut ibunya, Fara Fauzan Ahmad Raimuzun, 27, belakang lutut anaknya mula timbul merah seperti ruam pada 25 Ogos lalu dan kemudiannya terus merebak hingga terpaksa dirawat di hospital dan doktor yang merawat mengesahkan anaknya terkena toksin Charlie.

Dr Kartini berkata, ramai doktor yang tersalah anggap bahawa kesan lecur adalah herpes zoster atau kayap.

“Penyakit ini tidak akan baik dengan pil anti-viral yang biasa, malah rawatan kulit perlu dilakukan secara simtomatik.

“Pesakit perlu diberi ubat untuk menurunkan keradangan dan memulihkan lecuran yang ada.

“Ia bagaimanapun akan pulih dengan sendirinya,” katanya.

Tambah beliau, apabila radang yang dialami pesakit kian pulih, kawasan berkenaan akan menjadi berkerak dan semakin kurang kemerahannya.

“Jangan sesekali menggaru kerana toksinnya boleh disebarkan ke kawasan kulit yang lain.

“Seeloknya kawasan yang bersentuhan dengan kumbang dirawat dengan kaedah rendam dalam larutan potassium permanganate atau garam biasa selama 30 minit.

“Jika kawasan berkenaan tumbuh belon air, cucuk kesan gelembung dengan jarum yang steril dan bersih, tunggu sehingga kempis dan sembur larutan potassium permanganate atau air garam setiap 30 minit sehingga satu jam.

“Kawasan terbabit biasanya akan kering selepas tiga hari,” katanya.

Namun demikian, pesakit tetap dinasihatkan berjumpa doktor untuk mendapatkan kepastian lanjut mengenai penyakit dihadapi.

Disiarkan pada: September 14, 2016 @ 9:37am
d