mutakhir

Dua lelaki maut motor disondol lori

Oleh myMetro

Subang Jaya: Dua lelaki maut serta-merta sejurus motosikal ditunggang dirempuh sebuah lori di Kilometer 29, Lebuhraya Damansara Puchong, di sini.

Dalam kejadian jam 7.30 malam kelmarin, mangsa berusia 21 dan 31 tahun dipercayai dalam perjalanan dari arah Putrajaya menuju ke Bukit Puchong di sini, sebelum dirempuh kenderaan berat itu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, siasatan awal mendapati penunggang motosikal berkenaan dipercayai menukar laluan secara mendadak tanpa menyedari kehadiran sebuah lori di laluan itu.

“Pemandu lori itu gagal mengelak lalu terlanggar motosikal dinaiki dua mangsa itu,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan mati serta-merta di lokasi nahas.

Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa dibedah siasat di Hospital Serdang.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: September 14, 2016 @ 9:53am
d