mutakhir

Rezeki korban 25 lembu [METROTV]

Oleh Nur Azimah Nurudin

Pasir Gudang: Pemilihan lokasi Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) di Masjid An-Nur, Taman Cendana di sini, semalam dianggap tepat selepas mengambil kira kawasan kejiranan itu yang memiliki sejumlah besar penduduk kurang berkemampuan.

Pengarang Eksekutif (Pengeluaran/BPI) Harian Metro Othman Mamat berkata, pada program itu, kira-kira 3,000 penduduk Taman Cendana termasuk 2,600 golongan kurang bernasib baik diraikan sempena Aidiladha dengan 25 lembu disembelih.

"Penyembelihan 25 lembu ini sebagai simbolik terhadap 25 tahun Harian Metro beroperasi dan sebagai penghargaan kami kepada pembaca setia akhbar ini yang sentiasa memberikan sokongan padu terhadap penerbitannya sejak dulu lagi.

"Kami sedar Johor adalah kubu kuat akhbar ini kerana memiliki pembaca yang ramai. Justeru acara seperti ini membolehkan Harian Metro mendekati mereka, sekali gus mengucapkan terima kasih atas sokongan diberikan selama ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program itu, semalam.

Program TKHM itu dirasmikan Pengarang Kumpulan Harian Metro Datuk Mustapa Omar.

Menurutnya, program itu mendapat kerjasama daripada Takaful Ikhlas Berhad, Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM), Jawatankuasa Perwakilan Penduduk Taman Cendana dan Jawatankuasa Masjid An-Nur Taman Cendana.

"Saya terharu ramai yang datang menjayakan program ini termasuk 150 orang daripada PSSCM, 350 ahli jawatankuasa dan sukarelawan serta penduduk di sekitar kawasan ini," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perwakilan Penduduk Zon Taman Cendana Shamsul Bahrin Ibrahim berkata, pihaknya bersyukur kerana program TKHM berlangsung dengan jaya.

"Saya mewakili penduduk di sini, menzahirkan penghargaan kepada Harian Metro kerana menjadi penyumbang ibadat korban ini.

"Diharap Harian Metro datang lagi membuat program di sini, kami amat mengalu-alukan kehadiran surat khabar ini," katanya.

Menurut Shamsul Bahrin, program berjalan lancar, malah berjaya mengagihkan 2,600 bungkusan daging korban kepada penduduk, sekali gus menjalankan ibadat korban 25 lembu sempena ulang tahun ke-25 akhbar ini.

Katanya, pihaknya menjangkakan dapat mengagihkan daging korban itu kepada 1,400 orang namun selepas program selesai, daging itu diedarkan kepada 2,600 penduduk termasuk keluarga susah.

"Saya juga mengucapkan jutaan penghargaan kepada semua yang sudi membantu, menjayakan dan mendoakan majlis ini berjalan lancar kerana akhirnya ini untuk komuniti di sini, sekali gus mengukuhkan lagi jalinan ukhuwah sesama masyarakat Islam," katanya.

Disiarkan pada: September 14, 2016 @ 10:17am
d