mutakhir

Manfaat LRT percuma

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

Kuala Lumpur: Warga Lembah Klang memanfaatkan sepenuhnya perkhidmatan sistem Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya yang diberikan percuma selama tiga hari sejak kelmarin.

Tinjauan Harian Metro di stesen Kelana Jaya, Pasar Seni dan KLCC mendapati warga kota yang mula bekerja semalam tidak melepaskan peluang menggunakan pengangkutan awam itu untuk ke tempat kerja masing-masing.

Kakitangan swasta, Wan Akmal Wan Zawawi, 29, berkata, dia pengguna setia perkhidmatan LRT untuk berulang-alik dari kawasan tempat tinggalnya di Setiawangsa ke Stesen Pasar Seni.

Katanya, tambang sehala dari Stesen Setiawangsa ke Stesen Pasar Seni adalah RM2.80 dan pemberian perkhidmatan percuma seperti itu sedikit sebanyak mengurangkan perbelanjaan pengangkutan untuk tiga hari.

“Kelmarin, jumlah penumpang tidak seramai hari ini kerana mungkin masih bercuti sempena sambutan Aidiladha.

“Tetapi hari ini, setiap tren yang tiba di stesen penuh sesak dengan penumpang dan ramai yang sudah kembali bekerja selepas bercuti panjang ” katanya.

Bagi Fazliana Ahmad, 30-an, pemberian perkhidmatan percuma itu adalah tepat pada masanya memandangkan perkhidmatan berkenaan dipalit kontroversi sejak minggu lalu.

Katanya, inisiatif tambang percuma itu adalah situasi menang-menang antara pihak Rapid Rail Sdn Bhd dan orang ramai.

“Dalam kejadian awal pagi Rabu minggu lalu, ada rakan sepejabat terpaksa mengambil cuti kerana terkandas ketika dalam ke tempat kerja.

“Kejadian yang sama sekali lagi berlaku pada pagi Jumaat lalu dan situasi itu sedikit sebanyak menjejaskan kepercayaan pengguna terhadap pengangkutan berkenaan,” katanya.

Disiarkan pada: September 15, 2016 @ 9:54am
d