mutakhir

Polis cedera elak kayu getah jatuh

Oleh myMetro

Kajang: Seorang anggota polis cedera selepas terjatuh daripada motosikal ketika mengelak kayu getah yang jatuh daripada lori di Kilometer 302, Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke Seremban, Negeri Sembilan, jam 12.05 malam kelmarin.

Akibatnya, mangsa yang berusia 31 tahun retak bahu kiri serta luka di kepala, muka dan badan.

Menurut sumber, kejadian berlaku selepas lori membawa muatan kayu getah menghala ke Seremban tersangkut ketika melalui jejambat menyebabkan beberapa kayu jatuh di jalan.

“Mangsa yang berada di belakang lori gagal mengelak kayu terbabit. Dia dibantu orang awam yang melalui lebuh raya berkenaan dan dibawa ke Hospital Serdang untuk rawatan. Keadaannya dilaporkan stabil.

“Pemandu lori turut membuat laporan berkaitan kejadian di Balai Polis Kajang,” katanya.

Menurut sumber, kes turut dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk tindakan lanjut.

Disiarkan pada: September 15, 2016 @ 10:01am
d