mutakhir

Kembali ke hutan

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifl

Hulu Terengganu: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu melepaskan dua pasang beruang matahari ke Taman Negara di sini, sebagai usaha memulihara haiwan itu daripada diancam kepupusan.

Pengarahnya Mohd Hasdi Husin berkata, haiwan berusia dua hingga empat tahun itu diperoleh dari Pusat Menyelamat Hidupan Liar Sungkai, Perak.

Menurutnya, haiwan itu dilepaskan secara berpasangan ke Hutan Taman Negara bagi memperkayakan lagi spesis haiwan berkenaan.

“Kami mendapat kerjasama FELDA Global Venture Plantations (M) Sdn Bhd bagi memastikan Program Konservasi Beruang Matahari dilaksanakan dapat berjalan sebaik mungkin.

“Beruang ini akan dapat menjalani kehidupan secara semula jadi dengan harapan ia mampu membiak seterusnya menambah lagi jumlah haiwan itu di hutan negeri ini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga meletakkan radio kola pada setiap beruang itu untuk memberi kemudahan kepada PERHILITAN memantau pergerakan dan tingkah lakunya di habitat baru nanti.

“Walaupun ia sudah dilepaskan untuk tujuan pembiakan secara semula jadi tetapi pergerakannya masih di bawah pemantauan PERHILITAN.

“Jika perkara tidak diingini menimpa beruang itu, PERHILITAN akan dapat mengesan kedudukannya segera seterusnya menjaga kelangsungan hidup haiwan liar itu di Taman Negara,” katanya.

Katanya, beruang matahari itu dilindungi sepenuhnya mengikut Akta 716, Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 berikutan jumlahnya yang semakin berkurangan.

“Pemburuan atau memiliki haiwan itu atau sebarang anggotanya boleh menyebabkan seseorang itu didakwa. jadi, orang ramai dilarang sama sekali memiliki atau memburunya atas apa juga alasan. Sebarang kesalahan membabitkan haiwan dilindungi sepenuhnya boleh dikenakan tindakan undang-udang tanpa sebarang kompromi,” katanya.

Disiarkan pada: September 15, 2016 @ 10:03am
d