mutakhir

Lelaki rempuh polis ada 3 kesalahan

Subang Jaya: Seorang buruh bertindak nekad merempuh anggota polis trafik bagi mengelak ditahan dalam sekatan jalan raya berdekatan Plaza Tol Puchong di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), di sini, kelmarin.

Bagaimanapun, tindakan berkenaan sia-sia apabila dia ditahan.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, lelaki berusia 35 tahun itu ditahan selepas melanggar seorang anggota Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya dalam sekatan jalan raya di lorong motosikal lebuh raya berkenaan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Muhammad Azlin Sadari berkata, kejadian menyebabkan anggotanya berpangkat Koperal cedera di tangan dan kaki kanan.

Katanya, sewaktu kejadian anggota berusia 30 tahun itu ditugaskan menjalankan Op Roda.

“Ketika menjalankan tugas, anggota cuba menahan motosikal model SYM Bonus 110 ditunggang suspek untuk pemeriksaan. Bagaimanapun, suspek terus memecut dan melanggar anggota itu.

“Kejadian menyebabkan suspek jatuh dari motosikal sebelum ditahan,” katanya ketika ditemui, di IPD Subang Jaya, di sini, semalam.

Menurut Azlin, hasil pemeriksaan terhadap motosikal digunakan suspek mendapati ia dilaporkan hilang di Cheras.

Katanya, hasil saringan air kencing dilakukan mendapati suspek juga positif dadah jenis morfin.

“Suspek direman tiga hari bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 332/379A Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas dan curi motosikal serta Seksyen 3(1) Akta Pemulihan Dadah 1983,” katanya.

Disiarkan pada: September 16, 2016 @ 9:19am
d