mutakhir

Pakatan licik

Oleh Shamsul Munir Shafini

Bukit Mertajam: Isteri bertindak sebagai perancang manakala suami bersama beberapa rakan pula akan melakukan jenayah. Itu dilakukan pasangan suami isteri bersama rakan mereka apabila melakukan kegiatan samun dan pecah rumah sekitar daerah ini termasuk Perak dan Kedah.

Bagaimanapun, aktiviti licik mereka yang juga dikenali sebagai Geng Mat Puling terbongkar apabila polis berjaya menahan Mat Puling dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Selamat, Tasek Gelugor, dekat sini, pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, suspek berusia 27 tahun itu baru dibebaskan dari penjara pada Mac lalu dan didapati mempunyai 16 rekod jenayah membabitkan kes dadah serta samun.

“Susulan daripada penahanan lelaki terbabit, pihak polis kemudian melancarkan serbuan di sebuah rumah di Taman Mahsuri, Padang Serai, Kedah dan berjaya menahan isterinya.

“Siasatan lanjut mendapati isteri Mat Puling berusia 29 tahun turut bertindak sebagai perancang ketika melakukan jenayah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah, di sini, semalam.

Menurutnya, polis turut menahan tiga lelaki berusia 21 hingga 37 tahun di beberapa lokasi ini dan siasatan awal mendapati mereka bersengkongkol dengan pasangan suami isteri terbabit dalam melakukan kegiatan samun, curi serta pecah rumah di beberapa kawasan dalam daerah ini termasuk Perak mahupun Kedah.

Disiarkan pada: September 16, 2016 @ 9:33am
d