mutakhir

Pengembaraan RM5

Oleh Zairee Mohd Yasak

Melaka: Pengalaman melawat Filipina tiga tahun lalu mendorong seorang ibu tunggal mengembara ke seluruh dunia sambil membawa bersama anak lelaki tunggalnya sejak September tahun lalu.

Pengembaraan Stephanie Schulz, 35, dan Jannik Schulz, 6, bermula di China kemudian singgah di beberapa negara Asia lain iaitu Hong Kong, Laos, Kemboja, Thailand, Singapura sebelum tiba di Malaysia tiga bulan lalu.

Bekas pengurus kedai runcit berasal dari Hamburg, Jerman itu berkata, walaupun dibantah keluarga dan rakan ketika menyuarakan perancangannya, dia nekad mengembara ke seluruh dunia bersama anak lelakinya itu.

“Bantahan keluarga dan rakan membuatkan niat untuk mengembara ke seluruh dunia semakin menebal, akhirnya saya berhenti kerja, pulang ke rumah untuk berkemas seterusnya memulakan pengembaraan kami.

“Selepas singgah di beberapa negara, akhirnya keluarga dan rakan menjadi penyokong kuat kami dua beranak meneruskan pengembaraan ini sebelum tiba di Melaka empat minggu lalu,” katanya ketika ditemui di Kota A’Famosa, Banda Hilir, di sini, semalam.

Pulau Langkawi, Kedah menjadi destinasi persinggahan pertama mereka di negara ini, sebelum ke Pulau Pinang, Kuala Lumpur Johor dan kini Melaka.

Dua beranak itu, menggunakan hasil jualan gelang tangan dianyam daripada benang bagi menampung perbelanjaan mereka termasuk kos pengangkutan, penginapan, makan dan keperluan harian lain.

“Setiap gelang tangan itu dijual pada harga RM5 sahaja. Walaupun ada mencadangkan supaya naikkan harga tapi saya tidak bersetuju. Apa lebih penting bagi kami adalah menikmati pengalaman hidup yang tidak dapat dibeli di mana-mana tempat sekalipun.

“Pada usia muda inilah peluang yang ada untuk merealisasikan impian melancong ke seluruh pelusuk dunia dan mengenali makna sebenar kehidupan dengan memerhatikan gelagat penduduk di setiap tempat kami lawati,” katanya.

Ibu tunggal itu memilih untuk hidup secara nomad menggunakan peluang mengembara bagi mempelajari pelbagai ilmu terutama Jannik, bagi membolehkan kanak-kanak itu memahami erti kehidupan sebenar.

Apa yang lebih menarik bagi Stephanie, Jannik dapat mengadaptasi suasana tempatan walaupun kerap berpindah-randah dan menambah ilmu secara semulajadi menerusi pemerhatian dan bercampur dengan penduduk tempatan.

Bagi memberikan pendedahan terhadap sistem persekolahan kepada anaknya, Stephanie sentiasa memohon untuk melakukan kerja amal di setiap tempat yang dilawati.

Sepanjang kira-kira empat minggu pasangan itu berada di Melaka, pelbagai tempat lokasi pelancongan terkenal dapat dilawati antaranya Menara Taming Sari, Zoo Melaka dan Taman Burung pada waktu lapang.

Anak-beranak yang tinggal di sebuah inap desa di Bachang, menggunakan bas sebagai pengangkutan utama mereka memandangkan terpaksa berjimat kerana banyak lagi negara bakal disinggahi.

Walaupun pengembaraan mereka berisiko termasuk dijangkiti penyakit seperti demam dan selsema, Stephanie turut rasa bertuah kerana memperoleh ilmu perubatan tempatan menggunakan bahan alam semula jadi seperti campuran halia untuk masalah penghadaman dan air kelapa untuk deman atau panas badan.

Pengalaman digigit anjing di kakinya ketika melancong di Thailand, menyebabkan Stephanie terpaksa membatalkan hasratnya untuk meneruskan niatnya melawat tempat menarik lain di negara itu kerana ditempatkan di wad selama tiga minggu.

Sementara itu Jannik yang kurang fasih berbahasa Inggeris berkata, dia dapat mempelajari adat dan adab di setiap lokasi dilawati dan berasa bangga dapat menemani ibunya sepanjang pengembaraan mereka.

“Walaupun saya bukan orang tempatan, saya tetap dapat kawan baru di setiap lokasi saya kunjungi dan belajar adat masyarakat tempatan,” katanya.

Disiarkan pada: September 16, 2016 @ 9:41am
d