mutakhir

Teksi punah

Oleh Hassan Omar

Melaka: Seorang pemandu teksi mengalami kerugian apabila cermin belakang kenderaan itu rosak akibat ditimpa dahan pokok tumbang dalam kejadian ribut di Taman Peruna, Sungai Udang, di sini, 3.15 pagi, kelmarin.

Pemilik teksi berkenaan, Ramli Mohamad, 60, memakir teksi itu berhampiran pokok terbabit sementara menunggu permitnya diperbaharui oleh sebuah syarikat kenderaan pengangkutan awam.

“Saya membeli teksi itu menggunakan konsep sewa beli pada harga RM50,000 tetapi tidak boleh beroperasi kerana syarikat terbabit belum memperbaharui permit berikutan menghadapi masalah kewangan.

“Ketika ribut melanda saya tidak senang duduk kerana risau teksi ditimpa pokok. Kebimbangan itu menjadi kenyataan selepas cermin belakang didapati sudah pecah ketika melakukan pemeriksaan pada jam 8 pagi,” katanya ketika ditemui, semalam.

Seorang penduduk taman perumahan sama, berkata Shahrul Ahmad Ramli, 34, sebanyak 10 keping siling rumahnya runtuh akibat angin kencang ketika ribut melanda penempatan itu.

Dia yang sedang tidur mengejutkan isteri apabila terdengar bunyi seakan-akan batu menimpa bumbung dan apabila keluar dia terkejut selepas mendapati ketulan ais bertaburan di anjung rumah.

“Sepanjang 30 minit angin kencang melanda saya dan isteri tidak putus berdoa supaya Allah menyelamatkan kami sekeluarga daripada sebarang kecelakaan kerana tiupan angin ketika itu sangat kuat.

“Alhamdulillah, kerosakan pada rumah kami tidak begitu serius, tiga anak juga tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu,” katanya.

Disiarkan pada: September 16, 2016 @ 9:43am
d