mutakhir

'Pergi' lepas pesan

Oleh Ramli Ibrahim

Gua Musang: “Saya sempat menasihatkan arwah supaya pandu kereta berhati-hati sebelum kereta yang kami naiki bertembung dengan kereta lain yang datang dari arah bertentangan,” kata Noraini Seman, 43, isteri kepada Azahar Muhamad, 53, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 37 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, mangsa bersama empat ahli keluarganya yang menaiki kereta Proton Wira dalam perjalanan dari Kuala Krai ke Gua Musang.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa yang bertugas di Cawangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Gua Musang, cuba memotong kenderaan di hadapannya sebelum bertembung dengan kereta Perodua Alza yang datang dari arah bertentangan.

Mangsa maut di Klinik Kesihatan Chiku 3 ketika menerima rawatan akibat parah di kepala.

Dua anak mangsa, Muhamad Azerey, 23 dan Nur Amirah Balqis, 14, cedera parah, manakala Noraini bersama seorang anak mereka, Nur Amalina, 27 hanya cedera ringan.

Noraini berkata, ketika kejadian, mereka dalam perjalanan pulang dari majlis kenduri kahwin ahli keluarga di Jerangau Barat, Terengganu.

“Memang setiap kali naik kereta dengan arwah, saya sering berpesan supaya jangan memandu laju. Bagaimanapun tidak sampai setengah jam selepas itu, kereta kami naiki bertembung dengan kereta lain.

“Pemergiannya amat di rasai, namun kami reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Rajab Ahad Ismail ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kemalangan berkenaan dan berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Mayat dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat sementara isteri dan tiga anaknya masih menerima rawatan di Hospital Kuala Krai (HKK),” katanya.

Disiarkan pada: September 17, 2016 @ 5:14am
d