mutakhir

Polis tahan polis

Oleh Norizuan Shamsuddin

Kuala Lumpur: Seorang anggota polis berpangkat lans koperal ditahan selepas dipercayai menyamun wang tunai RM2,000 menggunakan senjata api di kafe siber di Jalan Radin Anum 1, Sri Petaling, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7 pagi, anggota lelaki berusia 55 tahun ditahan ketika cuba melarikan diri berdekatan restoran di Jalan Raden Tengah, di sini.

Menurut sumber, kejadian berlaku apabila anggota berkenaan memasuki kafe siber lalu mengacukan pistol ke arah penjaga kaunter di premis berkenaan.

Katanya, anggota berkenaan sempat mengambil wang tunai RM2,000 dari kaunter sebelum melarikan diri.

“Penjaga kaunter sempat menghubungi rakannya yang berada berdekatan memaklumkan premis berkenaan disamun sebelum menghubungi polis.

“Rakannya sempat mengekori anggota berkenaan yang melarikan diri sehingga sampai di sebuah restoran di Jalan Raden Tengah, di sini.

“Bagaimanapun, anggota berkenaan yang menyedari diekori melepaskan satu das tembakan ke arah lelaki terbabit,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan lelaki berusia 31 tahun itu cedera di dada kanan.

“Anggota berkenaan tidak sempat melarikan diri kerana kawasan itu dikepong sepasukan Unit Kereta Peronda (MPV) dari Balai Sri Petaling yang tiba di lokasi sebaik menerima laporan.

“Anggota berkenaan ditangkap dan polis menemui semula wang tunai RM2,000 bersama sepucuk pistol model Sigsauer serta satu kelopak peluru.

“Siasatan awal mendapati anggota terbabit bertugas di Shah Alam dan dia ditahan bagi siasatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Sharul Othman Mansor ketika dihubungi mengesahkan penangkapan anggota berpangkat lans koperal berkenaan.

Katanya, perintah tahanan reman ke atas suspek akan dilakukan secepat mungkin bagi membantu siasatan.

“Siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun menggunakan senjata dan Seksyen 38 Akta Senjata Api kerana melepaskan tembakan,” katanya.

Disiarkan pada: September 17, 2016 @ 5:22am
d