mutakhir

Kepulan asap hitam rupanya dari rumah sendiri

Oleh Shahrul Nizam Mohamad

Kuantan: “Dari jauh saya nampak kepulan asap hitam namun tidak menyangka pula berpunca daripada kebakaran dua rumah dan stor milik saya,” kata kontraktor pendawaian elektrik, R Jeganathan, 53, mangsa kebakaran di Jalan Tanah Putih, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 9 pagi, rumah milik Jeganathan diduduki ibunya, S Mariammah, 73, serta kakak iparnya, M Thayanayagi, 65, musnah.

Katanya, ketika kejadian, dia berada di Jalan Wong Ah Jang bersama pekerja untuk ke Senawang, Seremban atas urusan kerja sebelum melihat kepulan asap menjulang tinggi sebelum bergegas ke tempat kejadian.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, dia terkejut melihat api marak membakar stor serta rumahnya dan terus mencari ibu serta kakak iparnya.

“Api merebak terlalu pantas, saya tidak sempat membantu menyelamatkan barangan penting dan hanya mampu melihat rumah dan stor saya hangus dijilat api.

“Walaupun sedih namun saya bersyukur ibu serta kakak ipar tiada di rumah ketika kejadian kerana mereka berada di rumah adik saya di Bukit Setongkol,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Katanya, ibunya tinggal berseorangan di rumah itu dan kakak iparnya mendiami rumah bersebelahan sejak beberapa tahun lalu manakala dia pula tinggal di Batu 6, di sini.

Disiarkan pada: September 18, 2016 @ 5:15am
d