mutakhir

Bimbang undang bencana alam

Oleh Icka S Hassan

Klang: “Kita memang mahukan pembangunan tetapi ini sudah melibatkan pengambilan tanah kubur yang bukan saja tidak menghormati si mati, tetapi juga menyebabkan wujud pelbagai kesan sampingan seperti bencana alam,” kata Syed Kamaruzaman Syed Abu Bakar Al-Yahya, 65, waris yang membantah pembangunan landasan perkhidmatan transit aliran ringan ketiga (LRT3) di kawasan perkuburan Simpang Lima, di sini, semalam.

Kekecewaan itu diluahkan Syed Kamaruzaman mewakili lebih 100 waris yang hadir bagi membantah pelaksanaan projek pembinaan LRT3 di situ yang mengambil kira-kira 15 meter tanah perkuburan Islam terbabit.

Menurut Syed Kamaruzaman, sekiranya projek itu siap dibina, ia dikhuatiri mengundang banyak masalah termasuk banjir di kawasan rendah.

“Kebiasaannya ketika hujan, tapak pembinaan akan menjadi kawasan takungan air namun sejurus projek itu disiapkan, ia menyebabkan air bertakung beralih ke kawasan yang rendah iaitu di jalan raya seterusnya menyebabkan kesesakan lalu lintas.

“Pengguna pasti lebih marah dan trauma. Sudahlah perkuburan keluarga dialihkan, ditambah pula dengan jalan raya yang sesak disebabkan banjir. Saya mohon pihak berwajib untuk mencari alternatif lain untuk pembinaan LRT3,” katanya.

Seorang lagi waris, Aminah Md Said, 63, berkata, dia lebih bersikap terbuka dan tidak membantah sekiranya pemindahan tapak perkuburan dilakukan secara baik.

“Saya tidak membantah sekiranya kerajaan ingin melaksanakan sebarang projek namun tapak perkuburan yang baru itu perlulah lebih kemas berbanding yang sekarang memandangkan kawasan yang diambil itu sudah berusia hampir 100 tahun.

“Kalau diperhatikan, memang agak susah waris hendak mencari kubur keluarga kerana batu nisan yang sudah bersepah dan ada yang sudah tenggelam di bahagian bawah bukit,” katanya.

Menurut Aminah, kubur bapanya, Md Said Abdullah turut termasuk dalam kawasan yang akan diambil alih bagi projek LRT3.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pihaknya percaya masalah terbabit akan diambil perhatian oleh pemaju projek, Kumpulan Prasarana Berhad.

Menurutnya, kerajaan juga akan memastikan projek berkenaan akan memberi kesan paling minimum kepada penduduk sekiranya dilaksanakan kelak.

“Kita tahu ada beberapa kawasan di Klang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi dan sukar untuk mengelak semua kawasan itu tetapi kita akan pastikan ia memberi impak minimum kepada penduduk setempat.

“Kita tahu projek ini membawa pelbagai manfaat kepada masyarakat, namun segalanya boleh dibincangkan demi kebaikan bersama,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat MCA Bahagian Kapar, di sini, semalam.

Disiarkan pada: September 19, 2016 @ 4:56am
d