mutakhir

Aman Palestin agih 125 lembu, 375 kambing di tiga negara

Kuala Lumpur: Sebanyak 125 lembu dan 375 kambing berharga RM2 juta berjaya diagihkan Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) di tiga negara sempena ibadah korban.

Agihan hasil sumbangan seluruh rakyat Malaysia itu dilakukan Aman Palestin kepada warga Palestin di tiga negara iaitu Palestin, Syria dan Lubnan.

Pengarah Medianya Anas Abdul Wahab berkata, amanah yang diberikan rakyat Malaysia kepada pihaknya berjaya disempurnakan dengan jayanya.

“Biarpun ada sedikit kekangan terutamanya di Syria kerana keadaan yang masih bergolak, amanah yang diberikan dapat juga kita sempurnakan.

“Keseluruhan sumbangan dianggarkan bernilai RM2 juta. Di Palestin sebanyak 57 lembu dan 200 kambing, Syria (42 lembu dan 150 kambing) manakala di Lubnan (26 lembu dan 25 kambing),” katanya.

Menurutnya, pihaknya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penyumbang dan berharap mereka akan terus melakukan sumbangan demi membantu rakyat Palestin di seluruh dunia.

Mengenai projek terbaharu kelolaan pihaknya, Anas berkata, pihaknya sudah melancarkan tabung untuk melakukan sumbangan kepada rakyat Syria.

“Program dinamakan Aid For Syria itu dilancarkan sempena musim sejuk. Kita ada tujuh bulan lagi dan berharap rakyat Malaysia akan terus melakukan sumbangan,” katanya.

Disiarkan pada: September 19, 2016 @ 4:57am
d