mutakhir

Wanita nyaris maut kereta masuk tali air

Parit Buntar: Seorang wanita nyaris maut apabila kenderaan dinaiki terbabas dan menjunam ke dalam tali air di Batu Lima, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8 pagi, Perodua Kancil dipandu mangsa yang berusia lingkungan 30 tahun dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Parit Teluk Pial, dekat sini.

Saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Adli, 38, berkata, dia melihat kereta itu hilang kawalan ketika memasuki simpang jalan dan terus menjunam ke dalam tali air.

“Mangsa keluar dari kenderaannya sebelum kereta terbabit tenggelam.

“Mangsa hanya mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Hospital Parit Buntar oleh penduduk untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, kemungkinan faktor jalan yang sempit dan licin akibat hujan menjadi punca kejadian itu.

Sementara itu, jurucakap polis Balai Polis Kerian mengesahkan kejadian dan siasatan dijalankan.

Disiarkan pada: September 19, 2016 @ 5:04am
d