mutakhir

4 serpihan satu jawapan

Oleh Nor 'Asyikin Mat  Hayin

Kuala Lumpur: Kementerian Pengangkutan menjangkakan keputusan menentukan sama ada empat serpihan yang ditemui adalah milik pesawat Malaysia Airlines MH370 atau tidak akan diperoleh dalam masa dua bulan setengah.

Menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, ia berdasarkan masa yang diambil untuk mendapatkan keputusan ujian penemuan salah satu daripada dua serpihan yang disahkan iaitu kepingan sayap di Pulau Pemba, perairan Tanzania pada Jun lalu yang diketahui dalam tempoh berkenaan.

Menurutnya, satu lagi serpihan disahkan ialah sebuah flaperon yang ditemui di Pulau Reunion, Julai tahun lalu.

“Empat serpihan terbabit sudah dihantar ke Australia untuk kajian lanjut dan saya yakin akan mendapat jawapannya dalam masa terdekat itu.

“Bagi saya, lebih penting bukan sahaja mencari serpihan pesawat, tetapi juga pesawat MH370 untuk merungkai misteri kehilangannya pada 2014,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan pertandingan bola keranjang di Wisma MCA, di sini, semalam.

Jumaat lalu, Liow dalam kenyataannya berkata, sejumlah 22 serpihan dipercayai daripada pesawat MH370 ditemui di Afrika Selatan, Mozambique, Mauritius dan Tanzania yang mana dua serpihan disahkan manakala empat lagi dipercayai hampir pasti daripada pesawat terbabit.

Pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.

Beliau berkata, kerajaan Malaysia bersama China dan Australia terus komited meneruskan misi mencari MH370 dalam baki kawasan pencarian seluas 10,000 kilometer (km) persegi yang dijangka selesai pada Disember ini.

“Pencarian pesawat melibatkan kawasan seluas 120,000 km persegi di selatan Lautan Hindi dan luar pantai barat Australia.

“Kita juga meminta kerajaan di negara terlibat dengan penemuan 22 serpihan (Afrika Selatan, Mozambique, Mauritius dan Tanzania) untuk membantu mengenal pasti terlebih dahulu objek ditemui itu sama ada serpihan daripada pesawat MH370 atau tidak sebelum dihantar ke Australia,” katanya.

Disiarkan pada: September 19, 2016 @ 5:38am
d