mutakhir

Teruja tugas duta pelancongan

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Kuala Lumpur: “Saya cukup tertarik keindahan ibu kota sehinggakan terdetik rasa rugi sekiranya tidak dapat menjadi sebahagian daripada sukarelawan Duta Pelancongan Kuala Lumpur (KL),” kata pelajar Indonesia, Dani, 22.

Menurut mahasiswa tahun tiga, jurusan Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu, dia komited meluangkan masa 16 jam setiap bulan menjalankan tanggungjawabnya sebagai duta pelancongan.

“Saya menyertai program ini sejak Januari lalu, bermula dengan kursus intensif selama sebulan sebelum diberi kepercayaan untuk berkhidmat kepada pelancong selama tempoh 40 jam dalam tempoh enam bulan,” katanya.

“Menariknya, saya bukan saja dapat membantu pelancong luar yang datang ke KL, tapi turut berpeluang memperbaiki kaedah berkomunikasi serta meningkatkan keyakinan diri dalam khalayak,” katanya ketika ditemui selepas tamat Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Program Duta Pelancongan antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Biro Pelancongan Jalan Tangsi, di sini, semalam.

Menerusi MoU itu, DBKL dan UKM bersetuju bekerjasama dalam menjayakan program sukarelawan Duta Pelancongan Kuala Lumpur.

Bagi pihak DBKL, MoU ditandatangani Datuk Bandar, Datuk Seri Mhd Amin Nordin, manakala UKM diwakili Timbalan Naib Canselor, Jaringan Industri dan Masyarakatnya, Prof Datuk Dr Imran Ho Abdullah.

Disiarkan pada: September 20, 2016 @ 6:19am
d