mutakhir

Elak cukai RM37.14j

Oleh Mohd Ruzaini Zulkepli

Kota Kinabalu: Helah beberapa ‘saudagar penipu’ yang cuba memalsukan pengisytiharan barangan yang memerlukan lesen import seperti minuman keras, beras, tayar dan rokok bagi mengelakkan daripada dikenakan cukai RM37.14 juta menemui padah apabila kegiatan mereka terbongkar dalam serbuan di Pelabuhan Sepanggar, di sini.

Dalam serbuan bermula 12 hingga 14 September lalu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 62 kontena mengandungi pelbagai barangan seludup berkenaan yang bernilai RM5.24 juta dan disyaki cuba disembunyikan suspek semata-mata mahu mengelak daripada dikenakan cukai kastam.

Antara yang dirampas 853,776 liter minuman keras, 11 juta batang rokok, 25,000 kilogram beras dan 11,000 tayar kereta yang dipercayai dibawa masuk dari negara jiran seperti Vietnam, Hong Kong, China dan Singapura menggunakan 62 kontena berkenaan.

Penolong Ketua Pengarah JKDM Malaysia (Bahagian Penguatkuasaan) Datuk Paddy Abd Halim berkata, modus operandi yang digunakan suspek terbabit dengan mengisytiharkan barangan itu sebagai perkakas, perabot dan alatan sukan bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Bertindak atas maklumat dan risikan, JKDM Sabah melakukan serbuan di Pelabuhan Sepanggar bermula 12 hingga 14 September lalu, sebelum merampas 62 kontena mengandungi pelbagai barangan dipercayai tanpa cukai kastam.

“Semua barangan dirampas membabitkan nilai cukai RM37.14 juta,” katanya dalam sidang media di Wisma Kastam Sabah, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengarah JKDM Sabah (Bahagian Perkhidmatan Teknik) Norizam Zakaria dan Timbalan Pengarah JKDM Sabah (Bahagian Perkastaman) Julaiman Soimin.

Paddy berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan terhadap individu atau pemilik kontena yang dikenal pasti terbabit dengan rangkaian sindiket penyeludupan itu sebelum mengheret mereka ke muka pengadilan.

“Tiada tangkapan dilakukan memandangkan kastam masih giat menjalankan siasatan, namun apa yang pasti mereka bergiat dengan aktiviti ini secara sindiket penyeludupan.

“Kita juga masih menyiasat sekiranya terdapat faktor pembabitan ‘orang dalam’ di dalam kes ini,” katanya.

Beliau berkata, semua barangan dirampas dibawa ke Ibu Pejabat JKDM Sabah untuk disiasat mengikut Seksyen 133(1)(a) dan Seskyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

Disiarkan pada: September 20, 2016 @ 6:27am
d