mutakhir

'Beg plastik 20 sen '

Oleh Junaidi Ladjana

Kota Kinabalu: “Bang, beg plastik...beg plastik, 20 sen saja bang.” Suara nyaring daripada kanak-kanak jalanan warga Filipina menyambut kedatangan penulis ke pasar di tengah bandar raya ini.

Kebanyakan daripada mereka dengan ada yang berusia seawal lapan tahun hanya bergantung harap kepada ihsan orang ramai demi mendapat sedikit upah bagi membantu keluarga masing-masing.

Seorang kanak-kanak itu yang ditemui dikenali sebagai Mahal Mali, 8, berkata sejak di usia lima tahun, dia mengikut rakan sebaya menjual beg plastik di sekitar pasar malam.

“Ayah saya meninggal dunia sejak saya berusia dua tahun dan sejak itu, ibu serta kakak saya yang menjaga kami adik-beradik.

“Tempat tinggal kami tidak menentu, kadang-kadang kami akan tidur berhampiran pasar ikan mahupun di pasar malam ini,” katanya di satu lokasi di tengah bandar raya ini.

Terlalu sukar untuk penulis membayangkan kedaifan hidup kanak-kanak ini dengan pakaiannya yang comot.

Bagaimanapun, riak wajah mereka tidak sesekali menunjukkan penat atau takut.

Mungkin kerana latar belakangnya yang dilahirkan dalam keluarga susah menjadikan kanak-kanak ini cekal meraih rezeki.

Bercakap dalam bahasa Sulu, Mahal yang pada mulanya agak malu-malu menceritakan kisah keluarganya berkata, sejak kecil lagi, dia tidak pernah bersekolah kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Pada masa sama, kehidupan keluarganya yang kais pagi makan pagi membuatkannya melupakan hasrat bersekolah.

“Saya tidak pernah bersekolah bang...saya sudah lama menjual bakul plastik kepada pengunjung di sekitar pasar malam di Sinsuran.

“Saya juga beberapa kali ditahan pihak berkuasa namun saya merayu dan mereka lepaskan....saya tidak meminta sedekah, tetapi mendapat wang dengan menjual beg plastik dengan harga 20 sen setiap satu,” katanya.

Seorang lagi rakannya, Salmah Lati, 10, yang juga menjual beg plastik berkata, setiap petang dia bersama Mahal menjual beg plastik kepada pengunjung yang membeli ikan mahupun ayam di pasar malam ini.

“Kami berada di pasar malam ini jam 4 petang dan menjual plastik kepada orang ramai yang hendak membeli plastik tambahan.

“Pendapatan tidak menentu, purata kami dapat hasil menjual plastik dalam RM10 hingga RM15 dan dengan wang itulah, kami beli makanan, pakaian dan jika ada lebih, kami memberikan wang itu kepada ibu,” katanya.

Menurutnya, sejak kecil, dia tidak pernah bersekolah, tetapi pada setiap hari Ahad, ada seorang ‘guru’ datang mengajar mereka di kawasan pasar malam berkenaan.

“Ada individu sukarela mengajar kami membaca, mengira dan mengaji al-Quran,” katanya.

Biarpun kagum dengan kecekalan kanak-kanak ini, penulis bimbang apabila ada dalam kalangan mereka terpengaruh dalam aktiviti menghidu gam.

Ditanya sama tahu tempat dia bermalam hari itu, kanak-kanak itu hanya menjawab, ‘ikut sempat bang’.

Disiarkan pada: September 20, 2016 @ 6:28am
d