mutakhir

Tunggu kelulusan hospital Sydney

Kuala Lumpur: “Saya tak sangka sakitnya bertambah serius selepas mengikut suaminya ke Australia. Apapun, kami sekeluarga bersyukur kerana ada pihak prihatin dengan nasibnya di sana,” kata Zalilah Nordin, adik kepada Salinah Nordin, 41, yang kini terlantar di Hospital Liverpool, Sydney akibat tuberculosis atau batuk kering sejak 18 Ogos lalu.

Katanya, Salinah memang menghidap asma sebelum ini dan tidak menyangka ia akan bertambah kritikal dengan komplikasi penyakit lain termasuk paru-paru dan buah pinggang.

“Sebelum ke Australia dua bulan lalu, dia memang tak sihat. Tubuhnya kurus dan tiada selera makan. Tapi dia tetap mahu mengikut suaminya ke sana yang bekerja di sebuah ladang ayam.

“Setakat semalam, kami dimaklumkan dia stabil tapi kritikal. Insya-Allah, saya akan mewakili keluarga ke sana selepas semua urusan berkaitan dokumen dan sebagainya selesai,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Sementara itu, Setiausaha Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BKUM), Abd Khalid Chairul berkata, suri rumah berasal dari Kampung Sapat, Papar itu kini dilapor kritikal dan keluarga amat berharap untuk melihat sendiri keadaan Salinah di sana.

Katanya, BKUM kebetulan akan ke Sydney untuk membawa pulang pesara kerajaan, Jaffar Saion, 57, yang kini menerima rawatan akibat angin ahmar di Hospital St Vincent.

Katanya, setakat ini, pihaknya masih menunggu kebenaran beberapa pihak termasuk hospital di Sydney dan berharap ia dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

“Jika semuanya berjalan lancar, kita akan berlepas malam ini (kelmarin) disusuli pegawai beberapa agensi termasuk Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada Jumaat. Keluarga Jaffar sudah berada di Australia sejak dia dimasukkan ke hospital 30 Ogos lalu,” katanya kepada Harian Metro.

Abd Khalid berkata, mengikut perancangan awal, BKUM akan membawa pulang Jaffar pada 22 September ini, namun ia ditunda kerana pihaknya perlu menyelesaikan beberapa urusan berkaitan termasuk memastikan dia cukup sihat untuk menjalani penerbangan dalam tempoh lama.

“Kita jangkakan Jaffar akan dibawa balik pada 25 September ini. Selepas dimaklumkan Wisma Putra, BKUM mengambil inisiatif untuk turut membawa bersama ahli keluarga Salinah untuk menziarahinya. Kita mohon doa rakyat Malaysia dan berharap segalanya berjalan lancar,” katanya.

Disiarkan pada: September 20, 2016 @ 6:58am
d