mutakhir

Wanita maut, rakan kritikal hidu arang

Bukit Mertajam: Seorang wanita maut manakala seorang lagi tidak sedarkan diri selepas terhidu asap arang berlebihan di sebuah rumah di Juru di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.45 malam, saksi menemui mayat mangsa Gan Mooi Hoay, 34, terlantar di bilik air rumah berkenaan bersama rakan serumahnya Tan Yooi Hooi, 22, yang tidak sedarkan diri.

Saksi yang juga rakan serumah mangsa Ng Hooi Char, 29, menjumpai kedua-dua wanita berkenaan tidak sedarkan diri di bilik air tingkat bawah premis dua tingkat berkenaan.

Sumber berkata, saksi terbau asap arang yang kuat dalam bilik yang berkunci dari dalam sebelum membukanya menggunakan kunci pendua.

Katanya, saksi juga sukar membuka pintu bilik air kerana ia dilekatkan dengan pita pelekat.

“Selepas beberapa minit, pintu bilik air dibuka sebelum dia menemui dua rakannya terbaring atas lantai tidak sedarkan diri.

“Saksi itu menghubungi pihak berkuasa memaklumkan kejadian berkenaan,” katanya.

Menurutnya, sebaik ambulans tiba, mangsa berusia 34 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi tidak sedarkan diri dan dalam keadaan kritikal.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid mengesahkan kejadian dan berkata, mangsa maut akibat terhidu gas karbon dioksida secara berlebihan.

Beliau berkata, tiada tanda pergelutan dalam kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Disiarkan pada: September 21, 2016 @ 6:35am
d