mutakhir

Mayat terapung dekat tebing

Langkawi: Mayat seorang kakitangan hotel ditemui terapung berhampiran tebing sungai paya bakau berdekatan Taman Nilam di sini, semalam selepas dilaporkan hilang hampir 14 jam sebelum itu.

Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Dr Che Ghazali Che Awang berkata, mayat Ibrahim Abu, 27, ditemui terapung jam 9.06 pagi oleh sepasukan anggota bomba yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Siasatan awal mendapati mangsa pekerja bahagian landskap sebuah hotel di Kuah dan menetap di Taman Nilam di sini, tidak jauh dari lokasi kejadian.

“Mayat kemudian dihantar ke Hospital Langkawi (HL) untuk bedah siasat sebelum disahkan doktor sebagai lemas,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, jenazah mangsa sudah dituntut isterinya, Fatimah Zainudin, 23, jam 12 tengah hari.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah Nur Hafizah Muhammad Lukman berkata, mayat mangsa ditemui pasukan bomba yang menyertai operasi SAR.

Katanya, mayat mangsa ditemui dalam keadaan terapung oleh pasukan SAR berhampiran tebing sungai paya bakau dan disahkan meninggal dunia oleh kakitangan perubatan dan dihantar ke HL untuk dibedah siasat.

Disiarkan pada: September 21, 2016 @ 6:42am
d