mutakhir

Sempat lari pakai tuala

Oleh Noor Ainum Ibnu Hajar Abu Seman

Temerloh: “Sebak rasa hati melihat rumah terbakar depan mata. Kini kami tiada apa-apa lagi kerana rumah yang menjadi tempat berteduh hangus dijilat api.

“Namun, saya tetap bersyukur kerana saya dan anak terselamat dalam kejadian kebakaran itu,” kata Noran Abdul Rahman.

Noran, 43, seorang mangsa daripada tiga rumah terbakar di Kampung Bukit Kepayang, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam, tiga rumah menempatkan tiga keluarga berkenaan hangus sebelum sempat pemilik rumah masing-masing menyelamatkan harta benda mereka.

Menceritakan kejadian malang itu, Noran berkata, dia serta tiga anaknya yang berusia dua, empat dan tujuh tahun baru selesai mandi.

“Sebaik selesai mandi, saya terdengar ketukan bertalu-talu di pintu rumah dan mendengar suara jiran menjerit supaya saya dan anak keluar kerana rumah jiran sebelah terbakar.

“Panik dengan berita itu, saya terus membawa anak keluar tanpa sempat memakaikan mereka pakaian hanya sekadar membaluti mereka dengan tuala saja,” katanya ketika ditemui Harian Metro berhampiran lokasi kejadian,” semalam.

Katanya, ketika kejadian jiran sebelah rumahnya bekerja manakala suami serta anak jirannya tidak ada di rumah.

“Saya tak sedar langsung rumah jiran sedang terbakar kerana tidak pula rasa bahang api mahupun terhidu bau hangit sesuatu terbakar.

“Sebaik keluar daripada rumah barulah saya nampak api dari rumah jiran sudah merebak ke dinding rumah saya sebelum merebak ke rumah yang lain,” katanya yang sudah lapan tahun menyewa di rumah berkenaan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Temerloh Hashnudin Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.14 malam, kelmarin.

“Sebaik menerima panggilan kami bergegas menuju ke lokasi dengan kekuatan pegawai dan anggota seramai 16 orang,” katanya.

Disiarkan pada: September 21, 2016 @ 6:45am
d