mutakhir

Lelaki ajal langgar sisi kereta

Kuala Kangsar: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditungganginya melanggar sisi sebuah kereta sebelum tercampak di atas jalan di Jalan Tun Razak di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.40 petang itu, Wong Yee Hong, 22, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, jam 12.45 tengah hari semalam akibat cedera di kepala.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar Asisten Komisioner Ahmad Termizi Abd Haq berkata, siasatan awal mendapati motosikal mangsa dari arah Taiping menghala Kuala Kangsar dipercayai tidak dapat mengelak kereta berkenaan.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai gagal mengelak kereta di hadapan menyebabkannya melanggar bahagian kiri kereta berkenaan.

“Selepas melanggar kereta itu mangsa terbabas dan melanggar pagar besi sekolah berhampiran,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang cedera parah di kepala dihantar ke HRPB sebelum disahkan meninggal dunia tengah hari semalam.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: September 22, 2016 @ 6:33am
d