mutakhir

Panjat tembok, pagar

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Sekumpulan pelacur tua warga asing bertempiaran melarikan diri termasuk memanjat tembok tinggi dan pagar selepas menyedari kehadiran polis.

Kejadian berlaku sekitar jam 11 malam kelmarin sekitar Jalan Pudu, ketika polis melakukan serbuan Ops Nyah 2 fasa 10 bagi membenteras pendatang asing tanpa izin (PATI).

Wartawan Harian Metro yang turut sama dalam serbuan itu mendapati ada antara wanita warga asing itu sanggup memanjat dinding premis bangunan yang dijadikan sebagai lokasi persembunyian bagi mengelak dicekup pihak berkuasa.

Bagaimanapun, tindakan mereka sempat dihalang pihak berkuasa yang bertindak mengejar sehingga menyebabkan berlaku pergelutan.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Abd Hamid Md Ali berkata, kebanyakan PATI bertumpu di kawasan tumpuan orang ramai termasuk pelancong asing bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Beberapa lokasi dipilih dalam operasi kali ini adalah bertumpu di kawasan sekitar pusat bandar raya memandangkan lokasi itu menjadi tumpuan orang ramai setiap hari,” katanya.

Dalam serbuan diketuai Ketua Jabatan Ketenteraman Awam (KJKA) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur Superintendan Muhammad Shamsuddin, seramai 105 PATI ditahan di empat lokasi sekitar ibu negara iaitu di Jalan Petaling, Jalan Alor Bukit Bintang, Pantai Dalam dan Jalan Gandek Sungai Besi.

“Kami berjaya menahan 105 PATI yang melakukan pelbagai kesalahan termasuk terbabit dengan kegiatan pelacuran dan tiada dokumen perjalanan diri yang sah.

“Daripada jumlah itu, 33 PATI yang ditahan adalah warga Indonesia, Bangladesh (29), China (12), Pakistan (10), Myanmar (8), Vietnam (5), India (4) dan Filipina (1), selain tiga individu warga tempatan yang dipercayai berperanan sebagai pelindung PATI,” katanya.

Disiarkan pada: September 22, 2016 @ 6:37am
d