mutakhir

6 hari terapung

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

Kuantan: Berpantang maut sebelum ajal apabila seorang nelayan yang dilaporkan hilang sejak enam hari lalu ditemui selamat di perairan Pulau Tioman, Rompin, semalam.

Mangsa, Mohd Saifudin Mamat, 32, ditemui berpaut pada pelampung kira-kira jam 3.30 petang di kedudukan 24 batu nautika barat laut Pulau Tioman oleh nelayan tempatan.

Menurut kenyataan dikeluarkan Markas Wilayah 1, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Tanjung Gelang, di sini, mangsa ditemui dalam keadaan lemah berikutan terapung terlalu lama di laut sebelum diserahkan kepada pasukan menyelamat TLDM

“Nelayan yang menemui mangsa memaklumkan kepada kami ketika usaha Inisiatif Bertanya Khabar (IBK) dengan bot nelayan di sekitar kawasan pencarian.

“Kami membawa mangsa ke Pangkalan TLDM Tanjung Gelang sebelum diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Timur untuk tindakan lanjut,” katanya.

Mangsa dilaporkan hilang jam 11 malam pada 15 September lalu selepas terjatuh daripada bot ketika sedang membaiki pukat di perairan itu.

Mohd Saifudin yang berasal dari Endau, Rompin, dikatakan terjatuh bersama pelampung keselamatan dan gagal diselamatkan rakannya.

Disiarkan pada: September 22, 2016 @ 6:39am
d