mutakhir

Malaysia senada

Oleh BERNAMA

New York: Malaysia senada dengan negara-negara seperti Britain mengenai keperluan untuk membanteras penyeludupan manusia dan perhambaan zaman moden, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sehubungan itu, beliau berkata Kuala Lumpur mencadangkan Britain menganjurkan persidangan antarabangsa mengenai perhambaan zaman moden semasa Perbincangan Meja Bulat Para Pemimpin, wakil-wakil badan antarabangsa dan pakar-pakar yang dijemput oleh Perdana Menteri Britain Theresa May di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGA) di sini.

“Ada keperluan untuk usaha kolektif serantau dan antarabangsa menangani masalah pemerdagangan manusia dan perhambaan zaman moden secara lebih berkesan,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini malam kelmarin.

Selain Ahmad Zahid, perbincangan meja bulat itu turut dihadiri Perdana Menteri Australia Malcolm Turnbull, Presiden Nigeria Muhammadu Buhari, Perdana Menteri Norway Erna Solberg, Presiden Slovakia Andrej Kiska serta badan-badan berkaitan dan organisasi bukan kerajaan.

‘Perhambaan zaman moden’, ‘pemerdagangan manusia’ dan ‘penyeludupan manusia’ adalah istilah yang dirujuk sebagai perbuatan merekrut, melindungi, pengangkutan, menyediakan atau mendapatkan seseorang bagi buruh paksaatau perbuatan seks komersial melalui kekerasan, penipuan atau paksaan.

Bercakap menjelang mesyuarat itu di New York, May berkata di seluruh dunia dianggarkan 45 juta orang mempunyai pengalaman yang ‘menakutkan dan dan tidak berperikemanusiaan’.

Selain menubuhkan pasukan petugas, kerajaan Britain juga memperuntukkan 33 juta pound daripada bajet bantuan United Kingdom (UK) untuk menangani perhambaan zaman moden di negara-negara berisiko tinggi yang mangsa sering diperdagangkan ke UK.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, turut memberitahu mesyuarat itu, usaha-usaha yang dilakukan Malaysia terutama melalui Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 yang berkuat kuasa pada 28 Februari 2008.

Beliau berkata, agensi ditugaskan untuk melaksanakan Atipsom mengendalikan 1,133 kes penyeludupan manusia antara 2008 dan Ogos 2016, serta menahan 1,861 orang.

Dalam tempoh sama, 141 kes disabitkan, iaitu membabitkan 33 orang pada 2016. Sebanyak 439 kes dibicarakan.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid berkata usaha juga sedang dilakukan untuk mengekstradisi 10 suspek dari Thailand, disyaki terbabit dalam penemuan kubur besar mengandungi rangka migran yang diseludup di sempadan Malaysia-Thailand pada 2015.

Di luar UNGA, Ahmad Zahid juga mengadakan pertemuan dengan Menteri Imigresen dan Perlindungan Sempadan Australia Peter Dutton dan Duta Besar Berkuasa Penuh Amerika Syarikat bagi memantau dan membanteras pemerdagangan manusia, Susan Coppedge. Beliau juga merupakan Penasihat Kanan kepada Setiausaha Negara.

Disiarkan pada: September 22, 2016 @ 6:55am
d