mutakhir

Tanggung RM35,000 setahun

Oleh Ismail Muhamad

Kota Bharu: “Saya perlu sediakan RM35,000 setahun bagi membiayai yuran pengajian anak yang mengikuti jurusan perubatan di Mesir sejak empat tahun lalu,” kata Mohd Radhuan Hussin, 58, di sini, semalam.

Kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) berasal dari Pasir Puteh itu berkata, kos itu tidak termasuk pembiayaan makan minum serta perbelanjaan harian Nur Eliana Alia, 20, yang kini di tahun empat pengajian perubatan di Universiti Al-Azhar Mesir.

Katanya, tanpa pinjaman atau penajaan daripada pihak kerajaan selepas ia dibekukan sejak 2013, dia perlu menanggung sendiri pembiayaan pengajian anaknya.

“Memang berat bagi saya yang berpendapatan rendah untuk menyediakan tanggungan besar setiap tahun memandangkan yurannya meningkat dari RM26,000 ke RM35,000 bagi pembiayaan berikutan penurunan nilai ringgit.

“Saya harap kerajaan Pusat dapat bantu anak kami yang tidak disediakan pinjaman atau penajaan ketika mengikuti pengajian padahal universiti berkenaan diiktiraf kerajaan Malaysia,” katanya selepas sidang media Pertubuhan Kebangsaan Ibu bapa dan Mahasiswa Perubatan Mesir, Malaysia (MUAFAKAT MESIR) di Padang Tembak Pengkalan Chepa di sini, semalam.

Pesara kerajaan dari Kampung Selising Pasir Puteh, Zakaria Hassan, 61, berkata, sejak empat tahun lalu, dia menanggung pembiayaan dan keperluan anaknya Mohammad Haqiq, 22, yang kini di tahun lima bidang perubatan di Universiti Iskandariah, Mesir.

“Setiap tahun saya sediakan RM50,000 untuk yuran pengajian selain keperluan harian serta tambang pergi balik anak di Mesir.

“Saya harap kerajaan selesaikan masalah pelajar perubatan di Mesir ini kerana segala kos pembiayaan ditanggung ibu bapa disebabkan tidak ada penajaan atau pinjaman daripada pihak berwajib,” katanya.

Sementara itu, Presiden MUAFAKAT MESIR Safian Taiyib Hamidin merayu kerajaan membuka semula pinjaman dibekukan bagi menyelesaikan masalah dihadapi 3,000 pelajar perubatan daripada Malaysia di Mesir.

“Sejak 2013, ibu bapa pelajar ini menanggung sendiri pengajian anak mereka berikutan pinjaman dibekukan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan agensi kerajaan lainnya

“Kami bersedia berbincang dengan pihak kerajaan dalam menyelesaikan isu yuran tahunan membabitkan pelajar yang berdepan masalah kewangan sejak empat tahun lalu,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan 150 pelajar perubatan tempatan di Mesir kini dibebani masalah kewangan termasuk tunggakan yuran pengajian sehingga mencecah jumlah RM4.5 juta.

Tanpa tajaan atau pembiayaan pendidikan, setiap pelajar persendirian daripada lapan universiti termasuk Universiti Al-Azhar, Universiti Zagazig dan Universiti Alexandria di Mesir itu dilaporkan hanya bergantung sepenuhnya kepada keluarga untuk membayar yuran RM33,033 setahun termasuk sara hidup.

Disiarkan pada: September 22, 2016 @ 6:59am
d