mutakhir

Zolhaimi dapat kereta

Oleh Nabihah Kamal

Kuala Lumpur: Impian bapa empat anak menghadiahkan kereta kepada anaknya tercapai apabila memenangi kereta Naza Kia Optima bernilai RM150,000 dalam peraduan Mudah Menang Harian Metro (HM) Siri 2, semalam.

Menurut Zolhaimi Lajis, 50, anak kedua dan ketiganya kini menuntut di kolej di Melaka, justeru, mereka boleh bergilir-gilir menggunakan kereta yang dimenangi.

“Anak saya baru masuk kolej, jadi mereka memerlukan kereta untuk ulang-alik. Kereta ini saya dihadiahkan kepada mereka,” katanya ketika dihubungi selepas diumumkan sebagai pemenang kereta itu.

Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro Ahmad@Salim Bachok bersama Pengarang Eksekutif (Pengeluaran/BPI) Othman Mamat dan Pengarang Bersekutu (Rencana) Husain Jahit mengumumkan pemenang peraduan berkenaan berdasarkan slogan paling kreatif dan unik

Zolhaimi yang bekerja sebagai penyelia hotel di Sri Petaling, di sini, berkata, untuk merealisasikan impiannya, dia membeli akhbar HM setiap hari sebelum ke tempat kerja.

“Setiap hari saya kumpul akhbar Harian Metro untuk mendapatkan kepala surat khabar.

“Saya dan isteri tampal dengan kemas sebelum menghantar penyertaan itu sendiri ke Balai Berita NSTP (The New Straits Times Press (M) Berhad),” katanya.

Sebelum ini, 48 peserta membawa pulang wang tunai RM500, RM1,000 dan tiket Legoland berdasarkan tiga kategori iaitu pemenang terbaik, kreatif, dan slogan unik dalam peraduan Siri 2.

Peraduan Mudah Menang HM akan berterusan sehingga Siri 3 yang bermula pada 3 Oktober hadapan.

Disiarkan pada: September 22, 2016 @ 7:16am
d