mutakhir

Enggan gadai nyawa

Oleh Hassan Omar

Alor Gajah: Kebanyakan nelayan Zon A dan B di perairan Tanjung Bidara hingga Kuala Linggi, di sini, menjadi penganggur kerana fenomena air pasang besar dan ribut barat sejak Ahad lalu berikutan bimbang keselamatan terancam jika turun ke laut.

Nelayan di Jeti Telok Gong, Kuala Sungai Baru, di sini, Ariffin Baba, 52, berkata, dia terpaksa mengeluarkan jaring senangin dari dalam perahu kerana tidak turun ke laut.

“Saya sudah empat hari tidak turun ke laut kerana air pasang besar dan ribut barat. Kebiasaannya apabila air pasang besar, ribut barat berlaku menyebabkan ombak setinggi 10 kaki (tiga meter),” katanya.

Nelayan di Kampung Tanjung Dahan, Kuala Sungai Baru, Borhan Yusof, 51, berkata, dia juga menjadi penganggur sejak Ahad lalu dan menjahit jaring rosak bagi mengisi masa terluang.

“Kalau setakat air pasang besar saya tidak bimbang, tetapi apabila datang bersama ribut barat menyebabkan saya tidak berani turun ke laut.

“Saya pernah kena air pasang besar dan ribut barat tahun lalu menyebabkan bot dimasuki air, tetapi saya dan awak-awak berjaya naik ke darat,” katanya.

Katanya, sejak kejadian itu, dia berhati-hati sebelum turun ke laut dan rela menjadi penganggur berbanding bertarung dengan ribut Barat yang datang bersama-sama air pasang besar.

Rakannya, Basir Razali, 31, berkata, dia juga mengeluarkan jaring cencaru dalam botnya berikutan fenomena itu.

“Kalau berada di tengah laut tiba-tiba ribut Barat datang, saya terpaksa hadapinya, tetapi kalau masih di darat dan nampak angin kuat, saya tidak akan menempah bahaya,” katanya.

Disiarkan pada: September 23, 2016 @ 8:58am
d