mutakhir

Pergi berdua balik seorang

Oleh Mohd Hanafis Abdul Haris

Batu Pahat: “Pergi berdua tetapi pulang seorang. Tidak sangka tanah suci menjadi tempat terakhir kami suami isteri berjumpa,” kata Sutini Sulaiman, 66, isteri kepada jemaah haji yang meninggal dunia di Makkah, 7 September lalu.

Allahyarham Harun Johari, 75, menghembuskan nafas terakhirnya jam 1 pagi waktu tempatan akibat jangkitan kuman pada paru-parunya.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Syaraek, Makkah keesokan hari selepas solat Subuh dan diuruskan petugas Lembaga Tabung Haji (TH).

Menurut Sutini, arwah suaminya itu sebelum ini tidak menunjukkan tanda sakit yang ketara biarpun mempunyai masalah pernafasan dan sering semput.

“Memang hajatnya untuk menunaikan haji biarpun keadaannya tidak begitu baik. Arwah meninggal dunia dua hari sebelum mengerjakan wukuf,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Suria, Ayer Hitam, di sini, semalam.

Menurutnya, dia tidak menyangka keberangkatan dia dan suaminya itu berakhir duka apabila suaminya diserang jangkitan kuman pada paru-paru.

“Saya reda dengan pemergian arwah kerana dia menemui pencipta-Nya di Tanah Suci Makkah,” katanya.

Sementara itu, anak Allahyarham, Hanizah Harun, 42, berkata, dia agak ralat apabila tidak sempat menjawab panggilan ayahnya beberapa hari sebelum kejadian berkenaan.

Menurut Hanizah, ayahnya ada menghubunginya sebelum kejadian, namun ketika itu rakannya yang menjawab panggilan terbabit.

“Agak ralat sebenarnya kerana tidak dapat bercakap dengan ayah buat kali terakhir,” katanya.

Menurut Hanizah, ketika ayahnya berangkat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, 6 Ogos lalu, arwah kelihatan agak sebak.

“Sebelum ini dia jarang menangis, namun entah bagaimana air matanya mengalir ketika kami sekeluarga menghantar mereka di lapangan terbang,” katanya ketika menerima lawatan TH di rumahnya, semalam.

Majlis itu dihadiri Ketua Pegawai Operasi TH Datuk Adi Azuan Abdul Ghani, Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor Datuk Noh Gadot dan Pengarah TH Johor Datuk Mokhzani Mukhtar.

Adi Azuan menyampaikan sumbangan wang khairat kematian berjumlah RM1,500 kepada Sutini.

Menurutnya, 15 kematian dilaporkan membabitkan jemaah haji negara tahun ini dan daripada jumlah itu, 10 meninggal di Makkah dan Madinah (dua).

Disiarkan pada: September 23, 2016 @ 9:54am
d