mutakhir

Tidak dilupa

Oleh Mohd Hilmie Hussin

Jasin: Sumbangan Mohd Norfaisal Jahuri, 38, yang bertugas sebagai wartawan sambilan Harian Metro Melaka hampir 15 tahun cukup banyak untuk dikenang.

Allahyarham yang meninggal dunia akibat pendarahan dalam otak Ahad lalu terus dirindui.

Malah, setiap kali menghadiri majlis tahlil arwah yang diadakan di kediaman mentuanya di Kampung Paya Tanjung, Bukit Durian, Umbai di sini, pelbagai kisah berkaitan Allahyarham menjadi bualan rakan-rakannya.

Allahyarham meninggalkan balu, Siti Rubiah Abu Siran, 40, dan anak lelaki, Muhammad Rayyan Haziq yang berusia empat tahun.

Bagi meringankan beban keluarga Allahyarham, kakitangan Harian Metro seluruh negara mengadakan kutipan sumbangan yang kemudian diserahkan kepada Siti Rubiah.

Turut menyerahkan sumbangan ialah Kelab Media Massa Melaka (KEMM) yang disampaikan Yang DiPertuanya Shukor Kassim.

Menurut Siti Rubiah, dia bersyukur dan berterima kasih dengan sumbangan berkenaan dan berharap semua yang mengenali arwah suaminya mendoakan kebaikan buat Mohd Norfaisal.

“Saya juga mohon kenalannya menghalalkan makan minum dan memaklumkan kepada keluarga kami jika arwah ada berhutang atau meminjam barangan,” katanya.

Disiarkan pada: September 24, 2016 @ 8:08am
d