mutakhir

Lelaki bonsai

Oleh Nor Shafinaz Sari

Melaka: Minat mendalam terhadap pokok bonsai menyebabkan seorang pesara posmen sanggup berhabis ribuan ringgit untuk mengumpul hampir 80 koleksi bonsai pelbagai jenis termasuk Melati, Jennifer dan Pokok Asam yang dibeli pada harga RM100 hingga RM2,000 setiap satu.

Menurut Senin Maun, 80, bukan mudah untuk menjaga pokok hiasan itu tetapi ia boleh dilakukan jika mempunyai minat untuk belajar.

Katanya, dia mempelajari panduan menjaga dan membentuk dahan bonsai menggunakan dawai menerusi buku selain mendapatkan nasihat daripada rakan atau pemilik pokok hiasan itu yang lebih berpengalaman.

“Bonsai ini jenis tumbuhan yang perlu sentiasa dijaga dengan baik, saya memang minat jadi tidak menjadi masalah untuk mengerah tenaga dan wang ringgit bagi memastikan bonsai dalam koleksi sentiasa segar serta subur.

“Kerana sudah minat saya tidak kisah mengeluarkan belanja RM6,000 bagi membina rumah bonsai terletak bersebelahan rumah untuk menyimpan semua koleksi ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bukit Baru, di sini.

Bapa kepada lima anak itu berkata, mungkin ada segelintir masyarakat berpendapatan hobi dilakukannya itu hanya membazirkan wang namun bagi peminat bonsai sepertinya ia satu kepuasan.

Warga emas itu turut bersyukur kerana isterinya Sapiah Baba, 67, serta anak-anak menyokong hobinya, malah mereka turut bersama-sama membantu menjaga koleksi bonsai itu yang dianggap harta bernilai tinggi.

“Saya tidak pernah rasa terbeban memiliki dan menjaga koleksi bonsai ini malah ia dapat mengisi masa lapang dengan perkara diminati selepas bersara dan akan diteruskan selagi terdaya,” katanya.

Menurut Senin, dia mula jatuh cinta kepada pokok bonsai apabila ditugaskan menghantar surat ke sebuah rumah yang dihiasi pelbagai jenis tumbuhan eksotik itu.

Namun gaji tidak seberapa dan harga pokok hiasan itu yang mahal menyebabkan dia terpaksa memendamkan dulu minatnya sehingga bersara 20 tahun kemudian, sebelum kembali aktif mengumpul bonsai.

Walaupun kerap berhadapan kekangan kewangan ketika itu, dia tetap membeli empat pokok hiasan itu dengan bonsai pertama dibeli adalah jenis Melati pada harga RM150 sebelum menambah tiga lagi koleksi enam bulan kemudian.

Katanya, bonsai Melati itu kini sudah berusia 20 tahun dan apa yang menggembirakannya pokok hiasan itu masih dalam keadaan subur dan disimpan bersama puluhan lagi koleksi lain dalam rumah bonsai dibina khas.

“Saya memang minat mengumpul barang unik, ketika kali pertama melihat bonsai saya memang sudah berminat dan berhasrat mengumpul pelbagai jenis pokok hiasan ini.

“Kebetulan, saya berkongsi minat sama dengan anak lelaki dan dua rakan, sekali gus memudahkan kami berkongsi maklumat mengenai tip penjagaan pokok hiasan ini,” katanya.

Disiarkan pada: September 24, 2016 @ 8:10am
d