mutakhir

Hikmah 100 ikan kelisa

Oleh Balqis Jazimah Zahari

Kampung Gajah: Bermula dengan hobi memelihara dan menjual ikan kelisa, seorang pemegang Diploma Ukur Bahan dari Politeknik Kota Bharu, Kok Lanas, Kelantan muncul sebagai usahawan muda hingga mampu meraih pendapatan bulanan mencecah ratusan ribu ringgit.

Shaharizad Shahrul Asmawi, 34, yang juga Pengurus Nana Farm Agrotech Sdn Bhd memberanikan diri untuk menanggung risiko apabila menceburi bidang perniagaan termasuk penternakan dan membuka restoran yang bukan kepakarannya.

Menurutnya, dia mula berjinak-jinak dalam bidang perniagaan selepas menamatkan pengajian pada 2003 sehingga memiliki syarikat sendiri dalam pelbagai sektor perniagaan.

“Pada awalnya saya bermula dengan hobi mengumpul ikan kelisa hingga berjaya mengumpul 100 ekor ikan itu yang ditempatkan dalam akuarium dan tangki fiber di dalam rumah selain turut menjualnya.

“Saya juga terbabit dalam bidang pembinaan sebelum memiliki syarikat sendiri dengan pelbagai jenis perniagaan lain termasuk penyelenggaraan dan teknikal di kilang kelapa sawit.

“Kemudian saya mula berubah bidang di luar kepakaran apabila menceburi bidang lebih menguntungkan dengan membuka ladang ternakan pada 2006 untuk memperluaskan perniagaan,” katanya kepada pemberita yang dibawa melawat ladang ternakannya di Kampung Pulau Tiga, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Mohd Nizar Zakaria.

Shaharizad berkata, dia menternak pelbagai jenis ternakan unik seperti ayam belanda, burung api-api, ayam kampung, ikan kelisa dan ikan pari air tawar di tanah seluas kira-kira 0.4 hektar.

Menurutnya, selepas perniagaan berkembang termasuk ternakan semakin banyak, dia bergabung dengan bapanya bagi menjalankan perniagaan eksport ikan kelisa ke China, namun berhenti disebabkan keadaan pasaran merudum pada penghujung 2012 lalu.

Katanya, sejak dua tahun lalu, dia nekad melabur dalam perniagaan berkaitan makanan bersama seorang rakan kongsi untuk membuka restoran di Kuala Lumpur dengan diikuti restoran di pekan ini.

“Saya membuka restoran yang menghidangkan masakan tempatan seperti udang galah dan makanan berasaskan ternakan di ladang saya sendiri seperti ayam belanda, burung api-api dan ayam kampung.

“Sebagai usahawan, kita perlu meninjau peluang perniagaan menguntungkan dengan tidak memberi fokus kepada satu bidang sahaja,” katanya.

Disiarkan pada: September 24, 2016 @ 8:12am
d