mutakhir

Kulit telur ganti seramik

Oleh Ayusliza Azizan

Shah Alam: Idea menggunakan kulit telur sebagai pengganti seramik untuk membuat jubin berhasil apabila sekumpulan pelajar tingkatan empat Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI), Gombak berjaya meraih ‘Diamond Award’ serta pemenang bagi kategori Junior Inventor dalam Pertandingan Invention, Innovation and Design Exposition 2016 (IIDEX 2016) Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, semalam.

Hasil inovasi berkenaan adalah idea serta usaha gabungan tiga pelajar, Nur Nabilah Abdul Halim, 16, Umroh Laman Abdul Rahman, 16 dan Fatin Nadhirah Ahmad Tarmizi, 16, yang diberi nama ‘Caco Tiles’.

Menurut Nur Nabilah, idea berkenaan timbul selepas mereka melihat banyak kulit telur dibuang sebelum memikirkan cara ia boleh digunakan semula.

“Kami tinggal di asrama dan telur antara bahan yang banyak digunakan dalam masakan, daripada situ kami memikirkan apa yang boleh dilakukan terhadap kulit telur ini.

“Susulan itu timbulnya idea menghasilkan jubin hasil gabungan kulit telur dan polimer yang tidak ramai menghasilkannya lagi,” katanya pada Majlis Penutup IIDEX 2016 di sini semalam.

Ia dilakukan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Dr Mary Yap Kain Ching.

Hadir sama Naib Canselor UiTM Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said.

Sementara itu, guru kumpulan itu Suraya Shabingin, 30, berkata, Caco Tiles dihasilkan dengan kelebihan tahan haba sehingga 750 darjah celsius, tidak mudah pecah serta mesra alam.

Katanya, sekeping jubin berukuran 12x12 sentimeter hanya menggunakan empat hingga lima kulit telur dan mampu disiapkan lima hingga 10 minit saja.

Menurutnya, mereka turut mendapat kerjasama daripada UiTM Shah Alam yang menyediakan tempat, alatan serta kepakaran dalam menghasilkan produk itu.

Suraya yang juga guru Fizik sekolah itu berkata, mereka kini dalam usaha mempatenkan produk jubin yang kini mendapat perhatian daripada pelbagai pihak industri yang hadir sepanjang pameran IIDEX 2016.

Katanya, pada bulan lalu Caco Tiles turut meraih kemenangan iaitu anugerah emas dalam satu pertandingan di Korea.

Dalam pada itu Dr Hassan berkata, pada IIDEX 2016 kali ini, UiTM menerima 745 penyertaan daripada peringkat sekolah rendah dan menengah serta institut pengajian tinggi awam dan swasta.

Beliau berkata, penyertaan tahun ini meningkat 10 peratus berbanding tahun lalu 685 penyertaan dan ia menunjukkan UiTM agresif dalam menggalakkan inovasi serta petanda baik ke arah negara yang berinovasi dalam mencapai negara maju.

Disiarkan pada: September 24, 2016 @ 8:27am
d