mutakhir

Fasa getir

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Cabaran yang dihadapi ahli misi Women’s Boat to Gaza (WBG) sepanjang seminggu merentasi laut Mediterranean dijangka lebih getir sebaik mereka meneruskan pelayaran ke Gaza, Palestin, Isnin ini.

Pengurus Pusat Kecemerlangan Palestin Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Khalid Jimat berkata, WBG masih perlu berdepan dengan kemungkinan ditahan dan kapal dirampas oleh tentera Israel apabila mereka mula bergerak ke Gaza dari pelabuhan Messina, Sicily, Itali.

“Apapun tindakan Israel sama ada menahan atau membiarkan WBG, mereka tetap akan tewas. Ini kerana Israel sebenarnya dalam dilema manakala dunia menanti-nanti maklum balas Israel terhadap WBG.

“Menahan WBG akan menyebabkan kecaman
ke atas Israel semakin bertambah tetapi jika mereka membiarkan WBG akan membuka sejuta pintu kepada usaha menamatkan sekatan ke atas Gaza,” katanya.

Bagi Penasihat Rose2Rose Dr Fauziah Mohd Hasan berkata, walaupun perjalanan mereka masih jauh, namun ahli misi sudah menghampiri sasaran mereka dalam usaha membawa harapan hampir dua juta rakyat Palestin yang memerlukan hak kebebasan.

“Kebanyakan daripada kami tiada selera dan hanya makan telur rebus untuk alas perut. Tetapi saya bersyukur Allah kurniakan saya kesihatan untuk merawat mereka yang sakit.

“Sepanjang atas kapal, tidak ada kehidupan yang kami nampak hanya langit sangat biru dan sinaran matahari yang kuat tetapi hati kami semakin menghampiri Gaza.

“Saya mohon doa rakyat Malaysia semua supaya kami dapat meneruskan misi ini dengan jayanya dengan izin Allah,” katanya yang tiba di Itali, petang semalam.

Sementara itu, Ketua kapal Zaytouna-Olive WBG Ann Wright menghargai usaha Malaysia kerana menyediakan kemudahan perubatan yang sangat lengkap sepanjang pelayaran misi berkenaan.

“WBG mendapat inspirasi daripada keteguhan wanita Palestin berdepan kezaliman Israel dan saya ingin berterima kasih kepada pihak MyCARE kerana wakilkan Dr Fauziah untuk menyertai misi ini.

“Dia menjalankan tanggungjawabnya sebagai doktor atas kapal ini dengan baik untuk menyelamatkan kami,” katanya.

Misi WBG anjuran Freedom Flotilla Coalition (FFC) memulakan pelayaran dari Barcelona pada 14 September lalu (8 malam waktu tempatan) dan dijangka tiba di Gaza, Sabtu depan.

Setakat ini, hanya kapal Zaytouna-Olive saja berjaya tiba di persinggahan terakhir iaitu Pelabuhan Messina, Sicily seperti perancangan asal manakala kapal Amal-Hope terkandas di Barcelona, Sepanyol akibat kerosakan enjin ketika memulakan pelayaran, 14 September lalu.

Malaysia menerusi inisiatif MyCARE dijangka bakal melancarkan projek #GiveHope di Gaza bertujuan membantu penduduk Palestin dalam aspek perubatan setibanya mereka di Gaza pada 1 Oktober depan manakala negara lain yang terbabit dalam misi ini memainkan peranan masing-masing dalam bantuan lain.

Disiarkan pada: September 24, 2016 @ 8:44am
d