mutakhir

Model Kampung Mizan

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Nilai: Seramai 40 ahli akademik dari universiti tempatan dan luar negara bekerjasama bagi menghasilkan model Kampung Mizan yang bertujuan mengekalkan cara hidup kampung.

Persidangan membincangkan dan memberi pendedahan mengenai Kajian Penyelidikan Kampung Mizan itu dijalankan selama tiga hari, bermula semalam.

Kajian itu dijalankan dengan kerjasama USIM dan Yayasan Bank Rakyat.

Naib Canselor USIM, Prof Datuk Dr Musa Ahmad berkata, kampung adalah antara contoh yang terbaik dalam mengaplikasikan konsep mizan kerana ia mempunyai ciri fizikal yang dianggap masih dalam lingkungan seimbang antara pembangunan dan alam sekitar.

Menurutnya, kajian kes ringkas mengenai kampung Melayu-Islam seperti Kampung Baru, Kampung Kerinchi dan Abdullah Hukum di Kuala Lumpur akan dijalankan untuk memahami bagaimana pemodenan boleh menjejaskan cara hidup kampung.

“Diharapkan daripada kajian itu menghasilkan model untuk mewujudkan satu pelan tindakan model Kampung Mizan dan model kampung Melayu-Islam.

“Adalah penting bagi kita untuk memelihara dan mengamalkan nilai, adat dan tradisi dikekalkan oleh orang kampung agar tidak kehilangan dalam gaya hidup bandar sekarang ini,” katanya selepas menghadiri Persidangan Antarabangsa Kampung Mizan USIM-Bank Rakyat, di sini, semalam.

Persidangan itu dirasmikan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Dr Asma Ismail.

Dr Musa berkata, pasukan penyelidiknya menerbitkan buku membincangkan rasional dan warisan Islam kampung.

Beliau berkata, fasa pertama kajian itu dijalankan untuk tempoh dua tahun.

Selain pensyarah USIM, ahli akademik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaya (UM), Educational Consultant dan Trainer, Greece, University of Duhok, Kurdistan dan Universiti Padjajaran, Indonesia, antara yang mengambil bahagian dalam kajian itu.

Disiarkan pada: September 25, 2016 @ 5:20am
d