mutakhir

Jaga abang macam bayi

Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

Tumpat: Ketika rakan sebaya sibuk bekerja mengumpul wang untuk masa depan, seorang pemuda pula terpaksa berkorban menjaga abang kandungnya yang koma sejak lima bulan lalu.

Wan Mohd Hasral Hakimi Wan Hanafi, 23, berkata, dia mengambil keputusan berhenti kerja sebagai juruteknik di sebuah syarikat telekomunikasi di Kuantan, Pahang semata-mata mahu membantu menjaga abangnya, Wan Ahmad, 27, yang koma selepas terbabit dalam kemalangan, Mac lalu.

Menurutnya, kasihnya kepada saudara kandungnya menyebabkan dia rela menggalas tanggungjawab itu dan berhenti kerja biarpun menawarkan gaji ribuan ringgit.

Katanya, abangnya terbabit kemalangan ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di kebun kelapa berhampiran rumah apabila motosikalnya terbabas.

“Abang hanya ditemui penduduk kampung selepas beberapa jam kemalangan berlaku sebelum dia yang cedera parah dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian selama dua bulan.

“Sejak itu, abang terus koma hingga ke hari ini dan hanya matanya yang bergerak dan berkelip,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kok Keli di sini, semalam.

Anak bongsu daripada lapan beradik itu berkata, bulan pertama abangnya di rumah, ibunya Saerah Salleh, 68, dan bapanya, Wan Hanapi Wan Ibrahim, 72, yang membantu menjaga, namun kesihatan mereka merosot menyebabkan dia mengambil keputusan berhenti kerja.

“Makanan seharian abang hanya susu yang diberi setiap enam jam termasuk tengah malam dan awal pagi. Disebabkan itu, kesihatan emak dan ayah semakin terjejas.

“Emak dan ayah perlu berehat dan saya bertanggungjawab memantau keadaan abang. Mereka hanya membantu menguruskan perkara ringan seperti mengelap badan dan bercakap dengan abang,” katanya.

Menurutnya, mereka sangat rapat sejak kecil lagi dan kini dia mahu menjaga abangnya dengan baik sehingga sembuh nanti.

Disiarkan pada: September 25, 2016 @ 5:22am
d