mutakhir

Uji stamina basah, kering

Oleh Nursyahirah Marzuki

Putrajaya: Kira-kira 500 peserta termasuk kanak-kanak serta remaja berusia tujuh hingga 18 tahun menunjukkan bakat mereka dalam acara renang dan larian menerusi Putrajaya Perdana Aquathlon 2016 yang diadakan di Kompleks Sukan Air, Presint 5, di sini, semalam.

Program anjuran syarikat pembinaan dan pemaju harta Putrajaya Perdana Bhd (PPB) itu dilaksanakan sebagai melunaskan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada orang ramai.

Pengarah Urusan Kumpulan PPB Datuk Rosman Abdullah berkata, pihaknya sentiasa menyokong amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat terutama pembabitan kanak-kanak yang terdedah dengan kemajuan teknologi.

“Ini adalah satu cara untuk menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat selain memberi sokongan kepada anak mereka untuk menceburi sukan seperti ini yang mampu meningkatkan stamina.

“Sukan ini juga bukan sahaja mengenai ketahanan fizikal dan kelajuan, malah mampu membina peribadi kanak-kanak serta melahirkan atlet untuk mewakili negara ke peringkat lebih tinggi,” katanya di sini, semalam.

Putrajaya Perdana Aquathlon membabitkan lima kategori Lelaki dan Perempuan iaitu Kategori A bagi yang berumur tujuh hingga sembilan tahun (berenang 100 meter (m); berlari satu kilometer (km); kategori B berumur 10 hingga 12 tahun (berenang 200m, berlari dua km); kategori C berumur 13 hingga 15 tahun (berenang 400 m, berlari 2.5km); kategori D berumur 16 hingga 19 tahun (berenang 750m, berlari lima km) dan kategori Terbuka (berenang 750m, berlari lima km).

Setiausaha Kelab Tri-Amatur Triathlon selaku penganjur program berkata, aktiviti ini bertujuan mempromosikan sukan triatlon di negara ini terutama kepada kanak-kanak yang mampu menjadi wakil negara sehingga ke peringkat Olimpik.

“Kita juga mengucapkan terima kasih kepada PBB yang menaja sehingga RM50,000 untuk menjayakan program ini dan menyokong usaha amalan gaya hidup sihat di negara ini,” katanya.

Terdahulu, Rosman turut menyampaikan hadiah kepada setiap pemenang bagi lima kategori terbabit yang berjaya membawa pulang pingat dan hadiah saguhati.

Lelaki Kategori A dimenangi oleh Nicholas Kong dengan catatan masa lima minit, 40 saat; Kategori B Darrell Tan Zhuo Wen (10 minit, 35 saat): Kategori C Matthew David Trott (16 minit, 55 saat); diikuti Kategori D Ryan Tan (28 minit, 12 saat) dan Kategori Terbuka Scott Pryde (34 minit, 22 saat).

Wanita Kategori A dimenangi oleh Eliza Tan (5 minit, 4 saat); Kategori B Siobhain Doyle (10 minit, 41 saat); Kategori C Yeong Zhen Yi (18 minit, 41 saat) manakala Kategori D Chan E-Lyn (32 minit, 23 saat) dan Kategori Terbuka Nur Iman Nabilah Muhd Noor Azlan (39 minit, 1 saat).

Disiarkan pada: September 26, 2016 @ 6:05am
d