mutakhir

Tuah kambing dapat RM500

Oleh Asrizal Aris

Kuala Lumpur: “Tuah ayam nampak di kaki, tuah kambing dapat RM500,” itu kata pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chong Hwa, Tan Dick Kian, 16, selepas dinobatkan juara pertandingan mencipta tanglung anjuran Wangsa Walk Mall.

Dick Kian yang juga peserta tunggal dari sekolah itu membawa pulang trofi, sijil dan wang tunai RM500 selepas tanglung berhiaskan patung kambing terpilih sebagai ciptaan paling kreatif menggunakan bahan kitar semula.

Beliau berkata, idea untuk menghasilkan patung kambing itu muncul selepas meminta pandangan daripada keluarganya yang menganggap kambing juga antara haiwan yang bertuah bagi masyarakat Cina.

“Kita selalu tengok orang guna naga atau ayam sebagai pembawa tuah. Mungkin sebab warna merah. Tetapi kambing pun antara haiwan yang membawa tuah dan ia haiwan yang comel.

“Memang kami ada sasaran untuk menang kerana puas hati dengan kecantikan tanglung kami, tetapi tidak sangka boleh dapat nombor satu,” katanya selepas acara penyampaian hadiah pertandingan itu di Wangsa Walk Mall, di sini, semalam.

Sementara itu, pengurus besar pusat beli-belah Wangsa Walk Mall, Foong Meng Khum berkata, seramai 50 kumpulan peserta daripada lima sekolah menyertai pertandingan yang diadakan sempena festival pertengahan musim luruh itu.

“Kreativiti peserta mencipta tanglung menggunakan bahan kitar semula serta bertemakan flora dan fauna adalah kriteria pemilihan untuk dijadikan pemenang.

“Tujuan utama pertandingan ini untuk mengukuhkan dan mendidik semangat muhibah antara pelanggan yang berbilang bangsa bermula sejak kecil lagi,” katanya.

Dalam pertandingan itu, tempat kedua diraih wakil Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sinar Banting manakala tempat ketiga menjadi milik wakil SMK Hulu Klang. Peserta masing-masing membawa pulang RM400 dan RM300.

Disiarkan pada: September 26, 2016 @ 6:12am
d